JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, June 21, 2011

Adun Labuk Bohong - Pengundi

SEORANG pengadu yang juga merupakan wakil belia dari Kampung Baba, Telupid telah menemui ActionLine baru-baru ini bagi meluahkan rasa kecewanya serta penduduk kampung yang lain mengenai masalah bekalan elektrik di kampung mereka.

Donysius Salati, 22 memberitahu ActionLine bahawa kampungnya dan sebuah kampung lagi kampung yang berdekatan iaitu Kampung Ansuan masih belum menerima bekalan elektrik meskipun sudah lama beradadi bawah teraju kepimpinan parti kerajaan.

“Kami berasa amat kecewa. Apatah lagi jika mengenangkan janji-janji wakil rakyat kepada penduduk kampung pada pilihan raya yang lepas. Yang Berhormat (gambar) Datuk Micheal Asang (Adun Labuk) pada ketika itu begitu berkobar-kobar melaungkan kata-kata seperti ‘jangan panggil saya YB kalau tiada bekalan elektrik di sini sehingga ke pilihan raya akan datang’. Penduduk kampung sebenarnya amat menaruh harapan dengan janji-janji tersebut,” ujarnya.

“Bagaimana pun, selepas memenangi pilihan raya, lain pula ceritanya. Ketika menagih janji dari wakil rakyat, kami dimaklumkan pula oleh pembantu kanan beliau bahawa kos untuk menyalurkan bekalan elektrik ke kampung kami terlalu tinggi. Dan tiada cara lain yang dapat dilakukan melainkan hanya menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak kerajaan,” tambah pengadu.

ActionLine kemudiannya dimaklumkan bahawa Kampung Baba cuma terletak kira-kira 16 kilometer dari pekan Telupid dan Kampung Berayung yang terletak sebelum Kampung Baba dikatakan sudah pun menerima bekalan elektrik. Namun begitu terdapat sebatang sungai yang lebarnya kira-kira 15 meter iaitu Sungai Labuk menjadi pemisah di antara kedua-dua kampung tersebut.

“Sungai inilah yang dikatakan menjadi halangan utama kepada pihak kerajaan untuk menyalurkan kemudahan bekalan elektrik kepada kami. Kalau pun benar kos yang perlu dikeluarkan supaya kami dapat menikmati bekalan elektrik seperti orang lain adalah terlalu tinggi, sampai bila mereka perlu berpegang dengan alasan tersebut? Tidakkah ada alternatif yang lain yang boleh diguna pakai supaya kami juga dapat hidup dengan selesa?”

Menurut pengadu, disebabkan ketiadaan fasiliti tersebut, penduduk kampung terpaksa menggunakan mesin penjana kuasa bagi membekalkan tenaga elektrik kepada rumah mereka. Walau bagaimana pun, mereka masih perlu menanggung kos yang tinggi iaitu sekitar RM300 sebulan bagi mendapatkan kemudahan tersebut. “Itu pun bekalan elektrik hanya disalurkan pada waktu malam bagi menjimatkan kos. Dan sekiranyakehabisan minyak diesel, kami terpaksa menggunakan lampu pelita kerana tiada pilihan lain.”

“Kami amat berharap agar pihak yang berkaitan dapat turun padang dan melawat sendiri kampung kami selain mengambil tindakan yang sewajarnya. Pada zaman yang serba maju ini, kami seolah-olah dihukum dengan tidak diberikan sebarang kemudahan hanya disebabkan oleh sebatang sungai.”

“Bagaimana kami dapat meningkatkan taraf kehidupan sekiranya langsung tiada kemajuan yang dapat dirasai oleh penduduk di sini. Kami bukan sahaja tidak mempunyai bekalan elektrik, malah kami juga tidak boleh menggunakan telefon bimbit kerana ketiadaan liputan. Bukan itu sahaja, siaran radio dan televisyen juga sukar didapati. Bagi penduduk yang berkemampuan, bolehlah melanggan stesen televisyen berbayar iaitu Astro. Itupun ianya hanya boleh dinikmati pada waktu malam,” jelas pengadu lagi.

“Seiring dengan perubahan zaman, pemimpin tempatan juga harus faham bahawa mentaliti rakyat turut berubah. Jika dulu kebanyakan ibu bapa kami yang buta huruf akan begitu mudah terpengaruh dengan janji-janji kosong yang ditaburkan. Tetapi kini kebanyakan anak muda di kampung ini sudah berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti. Cakap-cakap kosong seperti itu sudah tidak relevan lagi, yang kami mahukan ialah perubahan yang nyata.”

“Dan apa yang pasti, jika kerajaan begitu prihatin dan sanggup untuk membelanjakan sedikit wang untuk kemudahan bekalan elektrik di sini, ia pasti akan membuka satu lembaran kehidupan baru kepada kira-kira 200 penduduk di Kampung Baba dan 400 lagi penduduk di Kampung Ansuan.”

No comments: