JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, June 6, 2011

Umno lobi pula Parlimen Tawau

TAWAU: Umno Bahagian Tawau kelmarin secara terbuka menyuarakan hasratnya supaya kerusi Parlimen Tawau diberikan kepada parti berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata permintaan berkenaan adalah selaras dengan suara pemimpin dan ahli Umno peringkat akar umbi yang mahukan kerusi itu diwakili parti berkenaan.

“Bukan parti Umno sahaja yang mahukan (kerusi Parlimen Tawau) tetapi parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain juga. Jadi kita tidak ada halangan jika semua inginkan kerusi itu.

“Bolehlah kita melobi tetapi yang penting, kita sokong keputusan pucuk pimpinan BN untuk meletakkan calon yang boleh menang,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Tawau di sini.

Pada pilihan raya umum 2008, kerusi Parlimen Tawau dimenangi oleh calon Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Dr Chua Soon Bui.

Bagaimanapun pada September 2008, SAPP mengisytiharkan keluar daripada BN.

Terdahulu dalam ucapannya, Tawfiq, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas, mengingatkan semua anggota Umno supaya terus merapatkan barisan di semua peringkat bagi menghadapi persaingan sengit pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Katanya Umno tidak lagi boleh bergantung kepada kelemahan parti lawan untuk memenangi pilihan raya berkenaan sebaliknya anggota parti mesti bekerja keras membetulkan segala persepsi negatif yang sering dilemparkan pembangkang kepada kerajaan BN bagi mengelirukan rakyat.

Tawfiq berkata anggota Umno perlu memanfaatkan masa yang ada untuk membetulkan segala persepsi negatif berkenaan dan meyakin rakyat bahawa slogan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ bukan retorik semata-mata.

“Kita tidak akan mampu memenangi pilihan raya kalau rakyat tidak bersama kita. Walaupun kita memegang jawatan dalam parti tetapi jika orang di luar sana (rakyat) tidak sokong, tidak ada gunanya,” katanya.NST. 6th June, 2011

No comments: