SUSUR: Keadaan tanah yang mendap menjejaskan kediaman penduduk.
LIMBANG: Belum pun reda tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, Selangor pada bulan lepas yang mengorbankan 16 nyawa, penduduk Kampung Bukit Kota di sini pula dihantui rasa bimbang apabila tanah di tepi jalan di kawasan itu semakin mendap sehingga mengancam nyawa dan keselamatan mereka.
Malah, keadaan bertambah kritikal apabila hujan lebat luar biasa yang berlaku semalam mengakibatkan struktur tanah menjadi lemah hingga membawa kepada berlakunya kejadian tanah mendap dan menjejaskan kediaman penduduk.
Penduduk juga mendakwa rumah dan harta benda mereka turut musnah akibat tanah mendap yang kerap berlaku setiap kali hujan lebat turun.ROSAK: Perabot dapur penduduk rosak akibat tanah mendap di Kampung Bukit Kota semalam.
Seorang mangsa, Nurul Syakira Abdullah, 30, memberitahu bahawa kediamannya turut rosak teruk terutama di bahagian dapur akibat mendapan tanah.
Dia yang juga penerima Program Bantuan Rumah (PBR) tidak dapat menahan perasaan sayu apabila menyaksikan rumah yang baru dibaik pulih hampir musnah dalam sekelip mata.
Menceritakan detik cemas itu, Nurul berkata ketika kejadian dia sedang menonton televisyen bersama anaknya di ruang tamu.
“Saya terkejut apabila mendengar bunyi nyaring yang datang dari arah dapur. Saya terkejut apabila lantai dapur mendap dengan begitu pantas menyebabkan barang dan perabot semuanya rosak,” jelasnya.
Nurul yang trauma sempat membawa anaknya segera keluar rumah untuk menyelamatkan diri.
“Saya sempat memanggil jiran untuk meminta tolong dan sempat menyelamatkan barang dan dokumen penting,”katanya.
Nurul memberitahu lagi bahawa dia turut bimbang akan berlakunya insiden tidak diingini berikutan bunyi seperti tanah mendap masih kedengaran.
“Dalam hati saya teringat mengenai kejadian tanah runtuh di Rumah Persatuan Anak Yatim Malaysia, Hulu Langat. Saya khuatir peristiwa itu akan berulang lagi,” katanya sebak.
Namun dia bersyukur kerana tiada kehilangan nyawa dalam kejadian tersebut.
Sehubungan itu dia memohon pihak berwajib supaya segera mengambil tindakan terhadap tepi jalan yang mendap bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
Sementara itu, Residen Limbang Maria Hasman mengulangi jaminan untuk menempatkan keluarga terjejas ke penempatan sementara.
“Kami akan berbincang dengan Pejabat Daerah Limbang untuk mengenal pasti kuarters kerajaan yang kosong bagi menempatkan mangsa terjejas,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Maria yang juga pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian berkata kediaman penduduk yang terjejas di kawasan tanah mendap sudah tidak selamat untuk didiami.
“Kami mendapati tiga rumah di kawasan terjejas perlu dirobohkan bagi mengelak ia runtuh dan menghempap rumah penduduk lain,” katanya.
Maria berkata lagi agensi kerajaan lain termasuk Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU), Syarikat SESCo Berhad, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Limbang dan agensi berkaitan sudah turun padang memantau kejadian itu.
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment