KUALA LUMPUR, 3 Dis – Pemuda Umno akan menyerahkan senarai calonnya untuk pilihan raya umum ke-13 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh dua bulan lagi.
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata, beliau kini dalam proses membuat penilaian bagi memilih calon yang mampu menang, yang turut melibatkan laporan mengenai mereka dari akar umbi.
“Bagi Pemuda Umno yang penting ialah kualiti bukan kuantiti calon. 40 calon kita hantar kesemua mampu menang. (Walau bagaimanapun) Bila PM (Perdana Menteri)sudah buat keputusan siapa calon, kita sokong.
“Saya bukan Ketua Pemuda yang merayu dua, tiga kali, walaupun nama saya sendiri tiada. Kita tidak akan menunggu di luar pagar Seri Perdana (Kediaman Rasmi PM) untuk merayu bagi mana-mana calon,” katanya kepada pemberita selepas sesi penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini.
Dipetik Bernama Online, Khairy turut menasihatkan calon Pemuda Umno yang tidak terpilih serta penyokong mereka agar tidak mensabotaj parti seperti yang berlaku pada pilihan raya umum yang lepas.
“Pada 2008, banyak kawasan di Kedah majoriti kemenangan Barisan Nasional kurang daripada undi rosak. Maknanya ada sabotaj. Malah ada anggota parti tidak mahu membantu parti dengan pergi luar negara, dan ada juga tidak mahu mengundi,” katanya.
Ditanya mengenai strategi Pemuda Umno untuk menarik lebih ramai mahasiswa menyertai parti itu, Khairy berkata Pemuda Umno akan mengatur lebih banyak gerak kerja baru untuk mendekati golongan tersebut.
“Kita telah mula menarik mahasiswa dalam Umno. Saya sudah jumpa dengan beberapa pemimpin mahasiswa dan saya akan bekerjasama dengan Pengerusi Biro Pengajian Tinggi Umno Datuk Razali Ibrahim, yang juga Naib Ketua Pemuda Umno.
“Kita tidak mahu tanggapan mahasiswa bersama pembangkang. Banyak mahasiswa bersama (Umno), kita cuma kita tak buka ruang secukupnya kepada mereka,” katanya.
Khairy turut meluahkan rasa bangga kerana ramai anggota pergerakan itu menjadi pembahas yang mewakili negeri masing-masing.
“Selalunya anggota Pemuda Umno ini mewakili Pemuda Umno sahaja. Kita lihat ramai pembahas (yang mewakili negeri terdiri dari) kalangan Pemuda Umno, antaranya Pahang, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Negeri Sembilan. Inilah dikatakan peremajaan parti,” katanya.
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment