JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, March 28, 2012

Guna untung Petronas, bayar PTPTN

27th March, 2012

TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh menyeru Petronas supaya membantu anak-anak tempatan di negeri ini membayar baki hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka.

Katanya, langkah itu akan dapat membantu para graduan terlibat, yang ramai di antara mereka hari ini masih lagi belum bekerja ataupun hanya berpendapatan kecil tetapi mempunyai tanggungan yang ramai.

Tambahnya, saranan itu diberikannya kepada Petronas memandangkan syarikat itu mengaut keuntungan yang besar setiap tahun hasil dari operasinya di negeri ini.

“Kita berharap Petronas dapat melakukan hal ini sebagai satu lagi khidmat baktinya kepada anak-anak tempatan kita di negeri Sabah, yang sebelum ini melanjutkan pelajaran mereka dengan menggunakan pinjaman PTPTN.”

“Dengan langkah ini, kita berharap graduan tempatan kita dapat menarik nafas lega, apatah lagi bagi graduan yang terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi dan mempunyai tanggungan yang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang usul-usul yang dibangkitkannya di dalam Persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Selain berkaitan hutang PTPTN, Ghapur juga memberitahu bahawa di dalam usulnya minggu lalu beliau turut membangkitkan mengenai isu geran tanah yang dihadapi oleh para peneroka Felda di negeri ini.

Selepas kira-kira 30 tahun tanah mereka dibangunkan oleh Felda katanya, para peneroka terlibat masih ternanti-nanti pengeluaran geran tanah mereka dan isu itu menjadi antara keresahan utama golongan berkenaan.

“Oleh itu, kita meminta kerajaan dan Felda sendiri supaya mempercepatkan proses pengeluaran geran tanah kepada para peneroka di negeri ini termasuklah kepada para peneroka di Rancangan Felda Umas.”

“Ini akan dapat mempermudahkan mereka menguruskan tanah mereka seperti hal-hal yang berkaitan dengan pertukaran nama pewaris dan sebagainya,” katanya.

Menyentuh usul seterusnya, Ghapur berkata, beliau meminta supaya para pengguna dan para peniaga di negeri ini diberikan ganti rugi oleh syarikat pembekal elektrik berikutan masalah gangguan elektrik yang sering berlaku.

Katanya, gangguan bekalan menyebabkan ramai peniaga seperti mereka yang menjalakan perniagaan sejuk beku mengalami kerugian yang besar, selain ia benar-benar menyusahkan rakyat.

“Apa yang kita lihat, kalau masalah bekalan terputus berlaku di Semenanjung, para pengguna termasuk peniaga diberikan pampasan. Kita mahu langkah sama dilaksanakan di negeri ini.”

“Kalau masalah ini berterusan, cuba bayangkan berapakah jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung oleh para peniaga yang perniagaan mereka memerlukan penggunaan bekalan elektrik?,” katanya.

Mengakhiri temubual, Ghapur berharap setiap usul yang dibangkitkannya akan diberikan perhatian oleh kerajaan dan pihak-pihak yang terlibat, demi kebaikan rakyat Sabah, khususnya yang berada di kawasan yang diwakilinya.

No comments: