21st March, 2012
LAHAD DATU: Para pembeli rumah di Bandar Seri Gemilang Lahad Datu merayu agar pembayaran pinjaman perumahan mampu milik yang dibangunkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) ditangguhkan serta-merta sehinggalah projek perumahan itu yang didakwa terbengkalai sejak lebih tiga tahun lalu siap dibina sepenuhnya.
Ini kerana, mereka mendakwa terpaksa menangggung perbelanjaan tinggi berikutan perlu membayar pinjaman perumahan meskipun belum menduduki rumah berkenaan dan pada masa sama mereka (pembeli) terpaksa menyewa rumah di tempat lain.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Bandar Seri Gemilang Lahad Datu, Sultan Abdullah, mengakui pembayaran pinjaman yang dibuat sejak 2010 amat membebankan mereka kerana sebahagian besar pembeli daripada golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, projek itu yang menempatkan 2,622 unit rumah teres dan kedai mampu milik dimulakan sejak 2007 secara berperingkat-peringkat di Bandar Seri Gemilang di sini, dengan tempoh penyiapan selama tiga tahun berdasarkan perjanjian jual beli rumah.
“Masalah ini menyebabkan kami (pembeli) amat terbeban kerana terpaksa menanggung perbelanjaan tinggi setiap bulan untuk membayar pinjaman perumahan dan pada masa sama perlu membayar sewa rumah.
“Walaupun aduan sudah berkali-kali dikemukakan kepada pihak pemaju, namun sehingga kini tiada tindakan susulan diambil dan hingga sekarang juga seperti belum ada petanda yang rumah kami akan siap dibina.
“Setiap kali meminta penjelasan mengenai status rumah kami, mereka juga tidak dapat memberi alasan kukuh berhubung kelewatan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam satu perjumpaan Majlis Sesi Dialog Bersama Pembeli-pembeli Rumah Bandar Seri Gemilang yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said.
Sultan berkata, pembeli turut menerima surat daripada SPNB yang mendakwa projek berkenaan sudah diambil alih kontraktor baru iaitu Tetuan Supernesa Sdn Bhd dengan kerja pembinaan dimulakan pada April ini yang dijangka siap dalam tempoh 36 bulan lagi.
Bagaimanapun katanya, jaminan itu tidak memadai bagi pembeli kerana masih terbeban dengan kos perbelanjaan tinggi jika pembayaran pinjaman perumahan diteruskan.
Sehubungan itu beliau juga berharap kerajaan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani keadaan itu sekali gus memastikan projek perumahan di kawasan itu berupaya memberi manfaat kepada golongan sasar.
Sementara itu Datuk Mohd Suhaili Said, berkata masalah dikemukakan pembeli itu akan dibawa dalam perbincangan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) depan.
Katanya, ia bagi mencari langkah terbaik bagi menangani kemelut yang dihadapi pembeli rumah mampu milik itu sekali gus memastikan matlamat kerajaan meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah tercapai.NST-
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment