JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, March 28, 2012

Rakyat bersuara baru dapat rumah

28th March, 2012

TAWAU: Penantian untuk menduduki rumah baru bagi 114 pembeli projek perumahan Taman Apas Permai, Batu 12 akhirnya terjawab apabila penyerahan kunci kepada para pembeli akan mula dilakukan pada bulan September tahun ini.

Perkara itu dinyatakan oleh pihak pemaju dan proses penyerahan kunci terbabit juga akan dijalankan secara berperingkat-peringkat, demikian menurut Ketua Pejabat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Negeri Sabah, Mohd Hafiz Sua Abdullah.

Menurutnya, penyerahan kunci tersebut akan dijalankan secara berperingkat-peringkat dengan melibatkan pembeli rumah kategori sederhana rendah terlebih dahulu dan selebihnya lagi akan diserahkan pada tahun hadapan.

“Pihak SPNB memberikan jaminan untuk membayar pampasan sebanyak lapan peratus kepada para pembeli terlibat sejajar dengan kandungan perjanjian pembelian rumah yang telah dibuat di antara pihak SPNB dan pembeli,’’katanya.

Mengulas mengenai kelewatan projek perumahan berkenaan yang tidak mengikut waktu, beliau berkata kelewatan itu berpunca daripada beberapa perkara teknikal yang dihadapi oleh pihak pemaju yang dilantik.

Ketika diminta mengulas mengenai kegagalan perjumpaan pihak pembeli rumah yang sepatutnya berlangsung dengan melibatkan pihak SPNB, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

Beliau yang dihubungi pemberita di sini mengakui bahawa pihaknya baru mengetahui tentang perkara tersebut setelah dimaklumkan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq DSP Abu Bakar Titingan.

“Kita berharap, sekiranya pihak pembeli di kawasan terlibat hendak mengadakan majlis perjumpaan bersama SPNB, mereka perlu memaklumkan kepada SPNB negeri terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, seramai 114 orang pembeli projek perumahan Taman Apas Permai di sini menuntut penjelasan daripada pihak bertanggungjawab berhubung status pelaksanaan projek perumahan berkenaan yang tidak mampu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Penduduk yang kesal dengan kelewatan itu menyifatkan tindakan pihak berkenaan yang tidak tampil memberi penjelasan berhubung status projek perumahan berkenaan memburukkan lagi keadaan.

Ketua kumpulan pembeli rumah berkenaan, Baharuddin Andi Sena, 35, berkata Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbendaharaan sering dihubungi namun sehingga kini belum mendapat sebarang maklum balas rasmi dari mereka.

Menurutnya, berdasarkan perjanjian awal perumahan itu sepatutnya siap dalam tempoh 30 bulan iaitu sekitar bulan Oktober 2010 namun sehingga kini ia masih terbengkalai.

“Kami mahu tahu bila tarikh penyerahan kunci rumah dapat diserahkan, berapa jumlah pampasan dan bila pampasan tersebut akan dibayar kepada pembeli-pembeli rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak projek perumahan tersebut.

No comments: