JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, March 20, 2012

Menteri nafi Telco bocorkan maklumat pelanggan

20th March, 2012

KUALA LUMPUR: Tiada bukti menunjukkan syarikat telekomunikasi membocorkan nombor telefon bimbit pengguna kepada pihak penyedia kandungan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu kelmarin.

Bagaimanapun kerajaan tidak menolak kemungkinan ada wakil pengedar atau orang dalaman syarikat telekomunikasi yang membocorkan maklumat pengguna kepada penyedia kandungan, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang.

“Memang ramai yang sangkakan nombor-nombor yang dihantar SMS perniagaan seperti ini diperoleh daripada syarikat telekomunikasi. Tapi siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuktikan ia tidak berlaku.

“Ada kemungkinan dealer telco atau orang dalam yang keluarkan nombor telefon atau maklumat yang dikehendaki oleh content provider (penyedia kandungan). Saya percaya kebanyakannya dilakukan secara rambang dengan menyasarkan mangsa yang mudah didapati,” katanya menjawab soalan Datuk Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) pada sesi soal-jawab.

Ismail ingin tahu cara kementerian mengawal selia promosi perniagaan melalui SMS dan bentuk hukuman jika terbukti wujud unsur penipuan dalam perniagaan tersebut.

Salang berkata SKMM sentiasa memantau aktiviti pemegang lesen melalui Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika berlaku sebarang pelanggaran standard mantadori oleh penyedia kandungan.

Beliau juga berkata menerusi pemantauan SMMM, sebanyak 185 kes penyebaran SMS lucah, fitnah dan jelik disiasat mengikut seksyen 233 AKM 1998 sepanjang tahun lepas.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) mengenai jaminan keselamatan pengguna daripada teraniaya oleh perniagaan SMS, Salang berkata pihak industri juga mengamalkan kawal selia kendiri dalam menangani aduan pelanggan.

“Ia termasuk mewujudkan ‘billing command centre’ untuk menangani masalah bil pelanggan dan mengadakan rangka kerja bagi memperbaiki sistem bil, kaedah pulangan wang balik pengguna atau rebat bagi kes tertentu; dan kempen kesedaran pengguna mengenai perkhidmatan yang ditawarkan dalam laman sesawang masing-masing,” katanya.

Salang juga berkata Pos Malaysia Berhad sedang melaksanakan projek ‘Alamat Untuk Semua’ bagi rumah dan premis yang tidak mempunyai alamat lengkap.

Katanya terdapat 361,241 premis dan rumah tidak bernombor di seluruh negara yang melibatkan 138 pejabat serahan dan 3,963 pusat serahan setempat.

“Melalui projek ini, rumah dan premis akan diberi alamat lengkap.

Kementerian berharap program ini cepat siap dan dapat dilaksanakan di seluruh negara bagi memudahkan urusan pos,” katanya menjawab soalan Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai.

No comments: