JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, March 19, 2012

PRU-13 sesuai pertengahan Jun - Timbalan Speaker

Sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dipilih untuk diadakan pada 3 Jun, ia seolah-olah tidak menghormati Sabah dan Sarawak yang menyambut perayaan Hari Gawai dan Kaamatan pada awal bulan tersebut.

Menurut Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, tarikh 3 Jun adalah tidak sesuai sama sekali kerana tidak memikirkan perasaan dan hati orang Sarawak dan Sabah.

“Jadi kalau Sabah dan Sarawak dianggap simpanan tetap kepada BN, jangan adakan pilihan raya pada 3 hari bulan,” katanya kepada pemberita pada majlis minum pagi bersama penduduk Kampung Bako Hulu, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Bloomberg yang dipetik mengenai 3 Jun merupakan salah satu tarikh yang dicadangkan untuk mengadakan PRU13.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong memberitahu, ia sewajarnya diadakan seawal 15 Jun bagi memberi ruang selain menghormati masyarakat menyambut Hari Gawai pada 1 Jun dan Hari Kaamatan pada 31 Mei.

Jelasnya, pertengahan bulan Jun lebih sesuai kerana ada ruang yang besar sehingga bulan puasa yang dijangka jatuh pada 19 Julai.

“Maknanya kita ada ruang besar pada pertengahan bulan Jun hingga Julai,” katanya.

Wan Junaidi ialah pemimpin BN terawal sering memberi bayangan mengenai tarikh pembubaran PRU.

Manakala Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing memberitahu, kepulangan pengundi muda ke kawasan luar bandar jika PRU13 diadakan pada musim Gawai dijangka akan memberi sedikit sebanyak impak.

Jelasnya, pengundi muda yang bekerja di bandar atau luar negeri, yang banyak berada di kawasan luar bandar ketika Gawai bagaimanapun tidak semestinya akan mengundi Barisan Nasional (BN), berbanding pengundi lebih berusia.

“Dari segi peratusan, saya rasa ia tidak melebihi lima peratus dari biasa dan persoalannya di sini adalah sejauh manakah keberkesanan mereka mempengaruhi pengundi lain di luar bandar, itu yang perlu kita ketahui.

“Jika pilihan raya diadakan sebelum Gawai, ia akan mempunyai sedikit perbezaan kerana kita mempunyai pengundi lebih berusia dan kita tahu mereka menyokong BN tetapi dengan adanya pengundi lebih muda, kita tidak tahu dan mungkin mereka ini akan meninggalkan impak,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) Dr Dusit Jaul memberitahu, ia adalah budi bicara Perdana Menteri tetapi sebaiknya jangan diadakan pada minggu pertama bulan itu memandangkan masyarakat Dayak di Sarawak dan di Sabah masing-masing menyambut perayaan.

Menurutnya, bukan sahaja tarikh itu tidak sesuai, tetapi dari segi persiapan juga boleh terjejas tanpa mengira pembangkang mahupun kerajaan.

“Kita perlu bersiap sedia tetapi bagaimanakah kita bersedia jika kita sedang dalam ‘mood’ Gawai dan menjalankan aktiviti Gawai?

“Ia agak sukar, dan saya pasti kerajaan persekutuan dan terutamanya PM sedar dan mengambil kira perkara ini, apa yang berlaku di Sarawak pada minggu pertama Jun,” katanya.

Beliau turut sependapat dengan Wan Junaidi kerana ia boleh dianggap tidak menghormati masyarakat Dayak jika ia diadakan pada 3 Jun.

“Saya boleh katakan ia bukan sahaja tidak bagus kepada kerajaan tetapi juga rakyat.

“Jika kerajaan tetap mahu mengadakannya pada 3 Jun, kerajaan boleh dianggap tidak sensitif kepada keperluan rakyat,” katanya.

==================================================================================

Najib terus berahsia bila Pilihan Raya Umum Ke-13

Posted on March 20, 2012, Tuesday

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak terus berahsia mengenai bila pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dengan meminta semua pihak termasuk media memahami bahawa beliau perlu menyimpan sesetengah maklumat.

Perdana Menteri berkata melontarkan pertanyaan mengenai tarikh pilihan raya tidak ubah seperti meminta ketua pegawai eksekutif syarikat Coca Cola untuk mendedahkan ramuan minuman ringan terkenal yang menjadi rahsia sejak sekian lama.

“Saya pasti anda semua memahami kenapa saya tidak boleh memberitahu tarikh itu. Meskipun saya tahu, saya tidak boleh mendedahkan perkara itu,” katanya pada sesi soal jawab selepas melancarkan Kelab Koresponden Asing Malaysia di sini Isnin malam.

Menurut Najib, beliau sedar bahawa sesetengah agensi berita asing meramalkan pilihan raya umum Malaysia akan diadakan pada Jun.

Menjawab pertanyaan mengenai pentingnya Barisan Nasional memperoleh majoriti dua pertiga, Najib menegaskan negara memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil bagi mengelakkan Malaysia daripada ketidaktentuan politik.

Perdana Menteri mengakui dalam senario politik semasa, kemenangan majoriti dua pertiga kini memerlukan usaha yang lebih berbanding sebelum ini.

“Tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk mencapai matlamat itu. Saya sendiri kini berusaha keras dan jadual kerja saya begitu padat,” katanya, sambil menambah kata ia adalah sesuatu yang perlu dihadapi.

“Kita kini berhadapan dengan situasi yang berbeza dengan kewujudan media sosial, rakyat juga semakin bijak selain maklumat yang mudah diperoleh,” katanya.

Menjawab satu pertanyaan, Najib berkata dasar kerajaan kini adalah lebih terangkum dan adil kerana kekayaan negara perlu diagihkan bukan sahaja dalam kalangan rakyat bumiputera tetapi juga kaum-kaum minoriti.

Mengenai lawatannya ke Myanmar pada 26 Mac, Perdana Menteri berkata lawatan itu akan merapatkan hubungan antara Malaysia dan Myanmar terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan. — BERNAMA

No comments: