JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, March 20, 2012

Penduduk kesal tanah adat diceroboh

19th March, 2012

KENINGAU: Penduduk Kg. Mansiat dan Kg. Lalapakon kesal dengan tindakan beberapa pihak, yang turut melibatkan agensi kerajaan, menceroboh Tanah Adat mereka yang diwarisi dari nenek moyang sejak ratusan tahun yang lalu.

Menurut AJK tuntutan Tanah Adat merangkap jurucakap kedua-dua kampung berkenaan, Dukiu Timbob, bantahan rasmi penerokaan Tanah Adat Hak Asasi Anak Negeri (NCR) Kampung Mansiat dan Lalapakon telah pun dibuat.

Katanya, kawasan yang sedang diusahakan oleh sebuah syarikat swasta adalah termasuk dalam kawasan NCR Kampung Mansiat dan Lalapakon.

“Oleh itu kami merayu supaya segala kerja-kerja membalak atau membersihkan kawasan berkenaan dengan apa juga tujuan diberhentikan dengan serta merta termasuk jentera hendaklah dibawa keluar,” katanya.

Dukiu berkata, jawatankuasanya sedang dalam usaha untuk menuntut kawasan terbabit termasuklah juga kawasan LIGS sebagai Tanah NCR selaras dengan peruntukan Ordinan Tanah Sabah Bab 68 dan bahagian IV: Seksyen 13,14,15,65 dan 66.

“Kami sebagai orang asal berhak menuntut kawasan tersebut sebagai tanah warisan dari nenek moyang kami turun temurun berdasarkan bukti-bukti sejarah peninggalan nenek moyang kami yang pernah menetap di kawasan tersebut masih wujud sehingga sekarang ini,” kata Dukiu.

Jelasnya, masih terdapat kuburan, tanaman buah-buahan, tempat keramat, air masin serta nama-nama tempat dan anak-anak sungai yang masih kelihatan dan masih segar dalam ingatan orang-orang tua mereka yang masih hidup dan sempat menetap di kawasan itu.

Dukiu turut menceritakan latarbelakang penceroboh Tanah Adat Mansiat kawasan Nomukon yang di pelopori oleh penceroboh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan sebuah syarikat swasta.

Katanya, kawasan Nomukon adalah kawasan tanah adat yang diwarisi oleh suku Mansiat dari nenek moyang sejak 500 tahun dahulu dan ia berkeluasan 7,000 ekar dan 3,000 ekar daripadanya telah ditanam dengan kelapa sawit oleh LIGS sejak tahun 2000 lagi.

“Pada tahun 1986, LIGS telah membuat permohonan untuk membuka kawasan tanah adat ini sebagai skim penempatan getah, kononnya untuk menaiktaraf kehidupan penduduk kampung atas persetujuan ketua-ketua kampung pada masa itu.

“Apa yang berlaku ialah, setelah LIGS mengambil semua kayu balak yang terdapat di kawasan tanah adat ini, mereka bukan pula menanam getah, sebaliknya kelapa sawit yang hanya bertujuan untuk kepentingan beberapa individu tertentu.

“Mengikut siasatan awal kami, kawasan tanah adat ini dimiliki oleh individu tertentu dan bukannya LIGS.

“Keadaan ini sudah cukup membuktikan bahawa tujuan penerokaan tanah ini bukanlah untuk menaiktaraf kehidupan penduduk asal suku Mansiat, tetapi untuk kepentingan peribadi individu yang terlibat,” jelasnya lagi.

Dukiu berkata, mengikut siasatan yang jawatankuasa beliau jalankan, individu yang terlibat adalah kakitangan LIGS itu sendiri.

“Tidak cukup dengan itu, pihak luar pula mengambil kesempatan memohon kawasan ini menyebabkan rasa tidak puas hati penduduk asal di sini iaitu suku Mansiat.

“Belum pun masalah ini selesai, syarikat swasta berkenaan telah meneroka kawasan ini dengan menebang dan meneres kawasan ini seluas 800 ekar yang kononnya telah dibeli dari penduduk kampung tanpa mengemukakan sebarang bukti pemilikan.

“Ini juga menyebabkan penduduk asal kawasan ini sangat tidak berpuas hati kerana telah dinafikan hak ke atas tanah adat ini,” tegasnya.

Dukiu berkata, penerangan dari syarikat berkenaan membuktikan terdapat dua orang penduduk kampung berkenaan yang telah menjadi orang tengah yang digunakannya untuk merampas tanah adat ini dari penduduk asal suku Mansiat.

“Kedua-dua individu yang dimaksudkan tersebut merupakan dalang utama pencerobohan kawasan ini,” katanya.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Tanah Adat Suku Mansiat, Jamary Kokowa, berkata kawasan ini telah dipohon oleh penduduk asal suku Mansiat sejak tahun 1970-an tetapi tidak pernah diluluskan oleh pihak Jabatan Tanah dan Ukur dengan memberikan pelbagai alasan.

“Keadaan ini telah memberikan peluang kepada orang luar untuk menceroboh kawasan ini seperti yang telah berlaku hari ini,” katanya.

Jamary berkata, laporan polis telah dibuat oleh penduduk asal yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Tanah Adat, iaitu Inek Kokowak, beberapa bulan yang lalu.

“Surat bantahan serta surat rayuan telah dibuat kepada PPHT untuk memohon siasatan awam tetapi belum ada tindakan kerana mungkin PPHT masih tidak faham-faham lagi tentang bertapa pentingnya isu ini bagi kami.

“Memorandum juga telah diserahkan kepada Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Alfred Angin, pada bulan Mei 2011 yang lalu untuk kali yang kedua tetapi belum ada tindakan,” katanya.

Menurut Jamary lagi, gambar-gambar bukti seperti kuburan, buah-buahan dan sebagainya telah diambil dan direkodkan, manakala pembikinan Profail serta Dokumentasi Suku Mansiat sedang dalam proses penyiapan (90 peratus sudah siap).

“Manusia akan bertambah tetapi saiz tanah tetap sama, pihak mahkamah telah memutuskan bahawa Orang Asal mempunyai hak ke atas tanah adat, oleh itu pihak kerajaan harus menghormati keputusan ini.

“Jika benar adanya 1Malaysia, Rakyat Mesti Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan, oleh itu, kembalikan tanah NCR kami yang telah dirampas oleh LIGS dan pihak luar.

“Iktiraf pemilikan tanah Hak Adat Anak Negeri dan hentikan rampasan ke atas Tanah Adat sekarang juga,” tagas Jamary.

Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Mansiat turut membatah penerokaan kawasan itu.

Pengerusi JKKK Kampung Mansiat Lebby Marasim @ Levister berkata, seluruh penduduk kampung Mansiat dan Lalapakon membantahnya.

Katanya, JKKK Kampung Mansiat dan Lalapakon tidak pernah membenarkan sama sekali mana-mana syarikat meneroka kawasan tersebut sehingga ada penyelesaian dan kelulusan dari pihak berwajib.

“Oleh itu kami memohon sekali lagi supaya kerja-kerja penerokaan tanah di luar kawasan LIGS, di sepanjang Sungai Namukon, Sungai Obah, Sungai Rongit dan sekitarnya, hendaklah dihentikan dengan serta merta,” tegasnya.

“Tambahnya, emua pihak harus menghormati hak-hak asasi orang asal sebagaimana yang diterima pakai dan diisytiharkan oleh perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 10 Disember 1948.

Pengerusi JKKK Kampung Lalapakon, Sook, Yusuff @ Fabian Bilas, berkata rayuan serta surat makluman mengenai perkara ini telahpun diajukan kepada Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup, Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin.

“Makluman yang sama turut diedarkan ke perhatian Penolong Pegawai Daerah Sook, Penolong Pemungut Hasil Tanah Jabatan Tanah dan Ukur Keningau, Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) Sabah, Jabatan Alam Sekitar Kota Kinabalu, Pegawai Perhutanan Jabatan Hutan Sook dan lain-lain,” katanya.

No comments: