JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, September 17, 2012

Guna Air mineral dalam majlis kahwin

SIMUNJAN: Penduduk di beberapa kampung dalam Parlimen Batang Sadong kekal dibelenggu krisis air akibat kemarau berlarutan sejak Jun lalu walaupun kerajaan mendakwa berusaha mengatasinya dengan membekal Tangki Air 1Malaysia di situ.

Masalah berpunca daripada bekalan dari tangki itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan seharian penduduk terjejas.

Malah, ia menyebabkan penduduk terpaksa membeli air mineral untuk diminum dan digunakan untuk memasak.

Tinjauan wartawan di Kampung Ulu Pendam 15 September 2012 mendapati salah seorang penduduk di situ yang menjalankan majlis perkahwinan anaknya terpaksa membeli air mineral dalam jumlah yang banyak.

Tambah menyedihkan tetamu yang datang hanya dihidang air mineral kerana air sedia ada kurang bersih untuk diminum.

“Apabila masalah kemarau yang melanda daerah Simunjan berlaku sejak Jun lalu, kita melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sarawak dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mudah menyalurkan bantuan, Tangki Air 1Malaysia yang diagihkan secara berperingkat di beberapa pusat seperti surau dan masjid membolehkan orang ramai menggunakannya,” kata Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri 16 September 2012.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media semasa menghadiri majlis perasmian Program Merdeka Raya Prasekolah SK Abang Man.

Tangki air hujan diagih hujung bulan

KUCHING 14 September 2012 - Fasa kedua pengagihan tangki air tadahan hujan untuk penduduk luar bandar di negeri ini akan dimulakan hujung bulan ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Othman Mahmood (gambar) berkata, pengagihan yang melibatkan 10,000 unit tangki itu dijangka selesai dalam tempoh enam bulan.
Katanya, pengagihan fasa pertama melibatkan 20,000 unit tangki air pula selesai dilaksanakan Julai lalu.
"Penambahan tangki air itu bertujuan memenuhi keperluan masyarakat negeri ini yang sebahagiannya belum dapat menikmati kemudahan air bersih.

"Projek kedua ini dijangka mengambil masa selama enam bulan dan ia akan dilaksanakan selewat-lewatnya hujung bulan ini," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke beberapa rumah yang menggunakan tangki air tadahan hujan di Kampung Sungai Aur, Telaga Air di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Persekutuan negeri, Datuk Md. Yahaya Basimin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Pegawai Kemajuan negeri, Datuk Kamal Husin.
Sementara itu, Othman berkata, tangki air tersebut mampu menadah air hujan 1,515 liter air dan ia dapat menjimatkan penggunaan sehingga 30 peratus.

Katanya, para penduduk dinasihat menggunakan air secara berhemah dan merancang bekalannya untuk kemudahan pada musim kemarau dan banjir.

Dalam pada itu, Othman berkata, pihaknya sedang mengkaji beberapa kaedah lain untuk menyalurkan air paip di beberapa kawasan di negeri ini bagi perancangan jangka masa panjang.
Katanya, kerajaan mengambil berat isu bekalan air bersih kepada masyarakat dan sentiasa mencari alternatif baharu bagi meningkatkan kualiti sedia ada.

"Perancangan untuk menyalurkan air bersih ke semua kawasan luar bandar memang ada, namun pelaksanaannya masih perlu dikaji kerana ia melibatkan kos yang tinggi," katanya.

No comments: