Harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini.(16 Julai 2010)
Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan hari ini.
Tidak jelas berapa kenaikan harga RON 97. Tetapi difahamkan harganya naik 5 sen dan akan diselaraskan seterusnya kemudian.
Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram
Kenaikan harga barangan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pengumuman malam ini.
Menurut perdana menteri, penyelarasan semula harga barangan tersebut akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.
Ia merupakan langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat mulai esok.
Bagaimanapun, tambanya, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula pada 2010.
Harga bahan api dan gula di Malaysia, tegas Najib, masih antara yang terendah di rantau ini.
Berikut adalah harga baru:
* Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.
* Diesel - RM1.75 seliter.
* Gula - RM1.70 sekilogram
* Gas LPG - RM1.85 sekilogram
Berikut adalah harga baru gas:
* Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)
* Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)
* Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)
Sementara itu, Berita Harian online memetik Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berkata, kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi menjimatkn perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal supaya pasaran dunia dan dalaman lebih yakin dengan kekuatan ekonomi negara.
Najib berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Kuala Kedah di Alor Star, petang ini.
Beliau yang juga menteri kewangan berkata, penjimatan perbelanjaan itu juga akan digunakan untuk pembangunan negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat.
Beliau turut memberi jaminan pengurangan subsidi akan dibuat secara minimum supaya tidak membebankan rakyat.
Pada 27 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dilaporkan berkata, Malaysia akan muflis pada 2019 jika kerajaan tidak memotong subsidi dan bergantung kepada pinjaman.
Katanya, hutang Malaysia akan meningkat kepada 100 peratus daripada GDP pada 2019 d- daripada 54 peratus sekarang jika subsidi tidak dipotong.
PM sebut 'pelarasan harga' jimat RM750j tahun ini, Jul 15, 10 8:09pm
Berikut adalah kenyataan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan kabinet mengenai harga bahan api, terutamanya petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula, yang diselaraskan semula sebagai sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi.
Sejak mengambil alih teraju kepimpinan negara pada tahun lepas, kerajaan di bawah pimpinan saya telah memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi.
Kita telah membuka sektor-sektor penting dalam ekonomi untuk pelabur asing, menyediakan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif, mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak 24 bilion, mengurangkan pembaziran dan menangani ketidakcekapan. Hasilnya, kita dapat melihat kebangkitan ekonomi dengan pertumbuhan sebanyak 10.1% dalam suku pertama 2010, pencapaian terbaik kita dalam dekad ini.
Ketika mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-10, saya telah mengatakan bahawa matlamat negara bukanlah semata-mata untuk mengeluarkan kita dari krisis ekonomi. Cita-cita kita untuk negara dan masyarakat adalah lebih tinggi dari itu. Kita ingin menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan berdaya saing untuk meningkatkan kesejahteraan kerana rakyat.
Model Baru Ekonomi (MBE) memperuntukkan cadangan untuk melabur dan mengembangkan sektor strategik yang penting, mengemas kini infrastruktur dan mewujudkan peluang pelaburan bagi sektor swasta yang bertujuan meningkatkan Pendapatan Negara Kasar. Namun begitu, pertumbuhan sahaja tidak akan membantu kita mencapai matlamat MBE. Kerajaan telah menyatakan bahawa kita mesti mengkaji semula pemberian subsidi bagi mengelak herotan dalam dagangan. Ia bagi memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak dan membolehkan lebih banyak hasil negara digunakan untuk pelaburan yang akan memberikan faedah jangka panjang bagi keseluruhan rakyat.
Selaras dengan itu, Kabinet telah mengambil keputusan bahawa berkuat kuasa pada 16 Julai 2010, harga bagi bahan api, terutamanya petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula, akan diselaraskan semula sebagai sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi. [tm1] Penyelarasan semula harga barang ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.
Keputusan untuk menyelaraskan harga minyak dan gula ini khususnya diasaskan daripada tiga perkara penting:
a. Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.
b. Kedua, barangan yang bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi telah menjadikan barangan ini paling murah di rantau ini. Pada tahun 2009 sahaja, ramai penyeludup telah ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula. Sebenarnya, jumlah yang tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini adalah lebih besar. Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi adanya perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.
c. Ketiga, kita perlu menukar cara kita menggunakan bahan bakar dan gula. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya, adalah langkah yang tepat.
7. Ini adalah sebahagian dari sebab kenapa kerajaan memilih untuk menyelaraskan semula harga gula dan bahan bakar. Sebaliknya, subsidi bagi bidang pelajaran dan kesihatan akan terus dipertahankan. Ini adalah bidang perkara yang penting bagi negara di mana kerajaan seharusnya melabur, menyediakan bantuan untuk mengembangkan kemahiran dan membina tenaga kerja untuk masa depan.
8. Keputusan untuk menyemak semula pemberian subsidi ini dibuat bersama rakyat melalui aktiviti yang dijalankan di bawah Program Rasionalisasi Subsidi. Kerajaan telah mengadakan proses perundingan dengan rakyat sebelum membuat keputusan ini. Tidak lagi hanya dengan pembuat dasar di Putrajaya, tetapi beribu-ribu rakyat Malaysia melalui Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, undian on-line, undian pesanan ringkas dan borang maklum balas menyatakan sokongan bagi menyemak semula pemberian subsidi secara berperingkat.
9. Berdasarkan proses ini, kerajaan memutuskan harga petrol RON 95 dan diesel akan diselaraskan sebanyak 5 sen seliter bagi semua sektor. LPG akan diselaraskan sebanyak 10 sen sekilogram dan petrol RON 97 akan diapung secara terkawal. Bagi gula pula, harga akan diselaraskan sebanyak 25 sen sekilogram.
10. Walaupun harga barang ini diselaraskan, kerajaan masih lagi membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula. Harga bahan bakar dan gula di negara ini masih lagi yang paling rendah di rantau ini walaupun adanya penyelarasan harga ini.
11. Selain itu, penyelarasan harga barang ini akan menyumbang kepada usaha kita untuk mengukuhkan urusan kewangan kerajaan iaitu mengurangkan defisit kewangan negara. Ia membolehkan kita menyediakan perbelanjaan yang lebih kepada sektor yang lebih penting seperti pendidikan dan kesihatan. Ini termasuklah pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa semua pelajar yang mendapat 9A+ dan pelajar miskin yang layak mendapat biasiswa dan meningkatkan perbelanjaan untuk menyediakan kemudahan kesihatan seperti Klinik 1Malaysia, termasuk klinik bergerak 1Malaysia. Selain itu, kerajaan akan meneruskan Projek Penyeragaman Harga Barang Perlu di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban rakyat luar bandar.
12. Sebenarnya, penyelarasan harga bahan api dan gula ini adalah yang paling minima berbanding dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana kerajaan mahu mengimbangi di antara kepentingan rakyat dan keperluan menguruskan defisit negara.
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment