Mohd. Amri Abdullah (kanan) bersama pegawai penyelidikan halal Jakim, Roslan Bahari menunjukkan resit pembelian ayam tidak halal sewaktu operasi di sebuah restoran di Kepong, Kuala Lumpur, semalam.
Kopitiam diserbu
KUALA LUMPUR 23 Julai – Sebuah kopitiam terkenal di sini, diserbu oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selepas dipercayai mendapatkan bekalan daging ayam daripada sebuah syarikat penyembelihan bukan Islam.
Ia terbongkar selepas pasukan penguat kuasa jabatan itu melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat penyembelihan ayam bukan Islam yang tidak diiktiraf Jakim di Jinjang, Rabu lalu.
Dalam pemeriksaan itu, Jakim menemui sejumlah salinan invois urusan jual beli melibatkan kopitiam berkenaan.
Kopitiam tersebut mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat swasta.
Turut ditemui di pusat penyembelihan itu adalah invois tertulis nama orang Islam dipercayai turut berurusan mendapatkan bekalan ayam daripada syarikat berkenaan.
Berikutan penemuan itu, pasukan sama diketuai Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Mohd. Amri Abdullah melakukan pemeriksaan balas di kopitiam tersebut.
Malangnya, invois pembelian ayam yang sepatutnya disimpan tiada di premis berkenaan sebaliknya hanya catatan pembelian dalam sebuah buku log.
Mohd. Amri berkata, dalam pemeriksaan pada pukul 10.30 pagi, pihaknya gagal mendapatkan bukti mengaitkan kopitiam itu mendapatkan bekalan ayam daripada pusat penyembelihan terbabit.
“Kita telah periksa, tetapi tidak menemui salinan invois sama seperti ditemui di pusat penyembelihan itu.
“Namun ia ditulis dalam buku log yang mencatatkan urusan pembelian ayam dari syarikat penyembelihan itu.
“Oleh itu kita akan meminta syarikat berkenaan supaya membawa semua dokumen berkenaan ke pejabat untuk disiasat selepas ini,” katanya ketika ditemui di kopitiam tersebut di sini hari ini.
Mohd. Amri menambah, logo halal yang tertera di hadapan premis itu didapati bukan daripada Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri sebaliknya sebuah syarikat swasta.
Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin menjamu selera di kopitiam atau mana-mana restoran supaya tidak terpedaya dengan logo halal berkenaan kerana tidak diiktiraf.
“Kita akan meneruskan pemeriksaan terhadap kopitiam seperti itu dan ia akan diperhebatkan lagi ketika bulan Ramadan nanti,” ujarnya.
Sementara itu, jurucakap kopitiam tersebut yang dikenali sebagai Karens ketika dihubungi menafikan dakwaan berkenaan dan enggan mengulas lanjut.
Hotel perlu mohon segera sijil halal sebelum Ramadan
PUTRAJAYA 23 Julai - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memberi kelulusan segera kepada para pengusaha hotel negara ini yang masih belum memohon sijil halal sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan lebih ramai pelanggan terutama umat Islam memilih hotel mereka sebagai tempat berbuka puasa.
''Di pihak Jakim kita akan membantu dan menyediakan laluan cepat kepada pihak hotel yang memohon sijil halal serta mematuhi piawaian, kita akan beri sijil halal dalam masa segera.
''Bagaimanapun yang mana tidak mematuhi, kita akan beri panduan sehingga mematuhi standard piawaian Jakim," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis perhimpunan bulanan jabatan itu dan melancarkan risalah bahasa Khmer 2010 untuk masyarakat Islam Kemboja dan Vietnam di sini hari ini.
Wan Mohamad berkata, walaupun kedatangan bulan Ramadan masih berbaki 19 hari lagi, namun ia masih belum terlambat untuk mereka berbuat demikian demi kepentingan dan kebajikan pelanggan Islam.
Menurutnya, pada masa ini hanya 64 buah hotel di seluruh negara mendapat status halal yang diluluskan oleh Jakim dan Jabatan Islam Negeri.
''Anda belum terlambat untuk mendapatkan sijil halal sebelum anda kehilangan pelanggan kerana tahap kesedaran masyarakat Islam kini sangat tinggi. Malah, mereka ada cita rasa tinggi dan berkeupayaan untuk menganjurkan majlis-majlis berbuka di hotel.
''Tetapi apa yang penting majlis berbuka ini adalah satu ibadat. Bagaimana kita boleh menyempurnakan ibadat dengan memakan benda yang kita tidak pasti status halalnya, lebih-lebih lagi yang terlibat dengan perkara syubhat (unsur keraguan) dan haram, jadi saya tidak fikir mana-mana orang Islam akan berbuka puasa dengan cara tidak halal," katanya.
Mengenai pelancaran risalah bahasa Khmer 2010, Wan Mohamad berkata, sebanyak tiga buah buku berkaitan ibadat berpuasa diterbitkan kali pertama oleh pihak Jakim bersesuaian dengan masyarakat Islam di Kemboja dan Vietnam untuk dimanfaatkan.
''Sebanyak 2,000 naskhah risalah dicetak dan pihak Jakim berminat membantu masyarakat Islam kedua-dua negara ini kerana struktur komunitinya agak lemah dan masih memerlukan kerjasama dan sokongan saudara Islam luar negara," katanya.
Dalam pada itu, Wan Mohamad mengalu-alukan mana-mana pihak dermawan negara ini untuk menaja dan membiayai projek terjemahan Tafsir Pimpinan Ar-rahman bagi keperluan setengah juta komuniti Islam di Kemboja yang dianggarkan bernilai RM250,000 bagi 2,000 naskhah.
''Selain banyak memberi sumbangan dalam ibadah korban untuk masyarakat Islam Kemboja, lebih diperlukan oleh saudara-saudara Islam di sana ialah terjemahan dan tafsir al-Quran," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Panel Syariah Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata, pengusaha perlu memohon segera sijil halal berkenaan memandangkan hotel menjadi pilihan umat Islam untuk berbuka puasa.
''Umat Islam hanya hanya akan memilih hotel yang mempunyai sijil halal untuk berbuka puasa,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
No comments:
Post a Comment