JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Tuesday, July 20, 2010
Jalan zaman silam di era Millenium
MIRI 19 Julai – Tidak ubah seperti tempat kerbau berkubang, menyaksikannya sudah menyakitkan mata apatah lagi untuk mengharunginya.
Itulah luahan lebih 15,000 penduduk tempatan yang terpaksa melalui Jalan Lapok setiap kali berulang alik ke bandar raya Miri.
Jalan Lapok merupakan satu-satunya jalan yang menghubungkan lebih 1,000 penempatan etnik Orang Ulu, Iban dan Penan sejak berdekad yang lalu, namun sehingga kini usaha menaik taraf jalan raya tersebut masih terbantut.
Entah di mana silapnya, cadangan untuk menaik taraf Jalan Lapok yang dijanjikan sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) masih tergendala sehingga kini.
Sedangkan bekas Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri S. Samy Vellu sudah memberi harapan kepada penduduk Baram bahawa Jalan Lapok akan dinaik taraf untuk keselesaan pengguna.
Pengalaman melalui jalan sepanjang 40 kilometer iaitu antara Beluru dan pekan Lapok merupakan ‘mimpi ngeri’ kepada pemilik kenderaan dan penumpang terutama pada musim hujan.
Tinjauan mendapati, permukaan jalan yang berlubang besar dan becak, licin selain struktur tanah yang tidak rata menyebabkan pengguna seperti menunggang kuda.
Laluan tersebut rosak teruk dengan permukaan jalan berlubang dan berselut apabila hujan serta berdebu apabila musim kering.
Keadaan jalan yang licin ketika hujan amat berbahaya kerana Jalan Lapok hanya sesuai untuk kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan kenderaan berat.
Sementara itu, kenderaan ringan seperti kereta dan motosikal sukar dikawal hingga mengundang kemalangan.
Pada musim kering pula, permukaan Jalan Lapok berdebu seperti kawasan gurun dan setiap kali kenderaan melintas, pemandu perlu berwaspada kerana pemandangan jalan dihalang oleh debu-debu tebal.
Keadaan jalan yang tidak baik ini menyebabkan perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hanya 20 minit berlarutan hingga dua jam.
Kerosakan jalan ini bukan sahaja membazir masa perjalanan dan membahayakan keselamatan pengguna, malah pemilik kenderaan terpaksa mengeluarkan pelaburan yang tinggi setiap bulan untuk menyelenggarakan kenderaan mereka.
Seorang pemandu yang dikenali sebagai Bonnie, 32, dari Long Pillah berkata, penduduk di Baram terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi setiap bulan untuk membaiki kenderaan mereka termasuk mengganti tayar dan penyerap hentak.
‘‘Selain itu, setiap tiga tahun kami terpaksa menukar kenderaan dan membeli yang baru, kerana lazimnya kenderaan di sini hanya mampu bertahan antara tiga hingga lima tahun.
‘‘Kami tiada pilihan, kerana ini sahaja pengangkutan yang boleh digunakan untuk membawa barang-barang keperluan ke kawasan pedalaman di Hulu Baram. Oleh kerana kos penyelenggaraan tinggi, kami terpaksa mengenakan caj yang tinggi untuk setiap penumpang dan barangan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Bonnie, perkara yang paling ditakuti oleh pemandu di Hulu Baram ialah apabila kenderaan mereka rosak di tengah jalan yang dikelilingi hutan tebal.
Sehubungan itu, mereka lebih sanggup membeli kenderaan baru daripada membayar kos membaiki kerosakan.
‘‘Bayangkan kos menunda kenderaan yang rosak ke bengkel di Miri boleh mencecah sehingga RM6,000, ini tidak termasuk kos membaiki kerosakan dan caj sampingan. Walaupun ada insurans, namun ini tidak berbaloi,” katanya yang menjadi pemandu di kawasan itu sejak 10 tahun lalu.
Salihin Rakawi pula berkata, Jalan Lapok sudah terlalu kritikal dan perlu dinaik taraf dengan segera.
‘‘Jika saya menggunakan jalan ini, walaupun hanya sebulan sekali, kenderaan saya akan rosak,” katanya ketika ditemui sedang membaiki kenderaannya yang rosak di Jalan Lapok.
Katanya, pada Januari lalu enjin keretanya terjatuh akibat gegaran disebabkan permukaan jalan yang berlubang-lubang.
‘‘Perjalanan saya masih jauh, saya nak ke Kem Jelalong di Hulu Baram dan belum sampai separuh jalan, kenderaan sudah rosak disebabkan keadaan jalan yang teruk,” katanya.
Seorang lagi pengguna jalan tersebut, Robin Jok mengatakan bahawa kos membaiki keretanya amat tinggi kerana selalu menggunakan Jalan Lapok.
‘‘Saya mengeluarkan belanja RM500 hingga RM600 sebulan untuk membaiki kereta saya kerana kerap menggunakan jalan ini.
‘‘Keadaan jalan di sini bertambah teruk semasa musim hujan sehinggakan kenderaan terperangkap dalam tanah becak,” katanya yang seminggu sekali berulang-alik dari Miri ke Long Lawen.
Katanya lagi, keadaan jalan seperti itu menyebabkan tayar dan juga hab getah beberapa bahagian kereta perlu diganti hampir setiap bulan.
‘‘Kami berharap dan merayu agar kerajaan mempercepatkan kerja naik taraf jalan ini. Kami difahamkan, cadangan untuk membaiki jalan ini sudah dicanangkan sejak RMK-8 dan sekarang RMK-9 hampir berakhir, namun masih juga tidak berubah.
Kata Robin, jalan raya berlubang, berselut, rosak adalah isu lama bagi penduduk di sepanjang Jalan Lapok-Miri. Banyak aduan dan permohonan dikemukakan kepada kerajaan namun semuanya tidak mampu mengubah keadaan jalan ini.
“Sebab itu, Jalan Lapok ini sentiasa menjadi ‘jalan sakit’ yang seakan tidak ada penawarnya,” katanya menambah kerugian berterusan akibat kos penyelenggaraan yang tinggi menjadi halangan utama untuk syarikat bas beroperasi di kawasan tersebut.
Keadaan ini menyebabkan penduduk setempat menuding jari kepada ketiga-tiga wakil rakyat Barisan Nasional (BN) iaitu Ahli Parlimen Baram, Datuk Jacob Dungau Sagan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Lihan Jok dan ADUN Marudi, Sylvester Entri Muran.
Sementara itu, Jacob Dungau berkata, projek membaik pulih jalan sejauh lebih 40 kilometer antara Beluru dan Bazar Lapok di daerah Baram akan dimulakan sebaik sahaja tender projek itu dikeluarkan.
Kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM150 juta untuk menambah baik jalan tersebut selain pembinaan jalan yang menghubungkan bandar raya ini ke cadangan tapak projek hidroelektrik Bakun yang keseluruhan berjumlah RM1.03 bilion.
‘‘Tender untuk kerja-kerja itu sudah dibuka sejak Oktober tahun lepas. Setakat ini saya tak dapat dedahkan bila kerja membaik pulih ini akan dimulakan. Saya belum lagi lihat tender tersebut,” katanya ketika diminta mengulas kelewatan projek menaik taraf Jalan Lapok dekat sini baru-baru ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment