JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, August 13, 2012

Disebalik pembelotan Senator BN

Masdar Wahid

Senator Dewan Negara, Datuk Maijol Mahap (gambar atas) sudah sah meninggalkan Parti Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), sekutu BN Sabah yang disertainya sejak 1990.

Perkara itu diumum di kediamannya, Kampung, Goshen, Kota Marudu yang turut dihadiri Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Angkatan Perubahan Sabah (APS), Datuk Seri wilfed Bumburing, pimpinan Pakatan dan lebih 5,000 rakyat.

Beliau pastinya akan menerajui APS bahagian Kota Marudu dan bakal bertanding di situ pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Namun ada perkara lebih menarik mengenai Maijol yang merupakan anak kelahiran Kota Marudu dan sejarah Parlimen Kota Marudu.

Parlimen Kota Marudu sejak 2004 hingga kini disandang Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), sekutu BN Sabah ketika ini.

Sebelum 2004, Parlimen Kota Marudu dikenali sebagai Bandau dan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, Maximus tewas kepada Maijol.

Maximus yang mewakili PBS ketika itu adalah pembangkang di Sabah, manakala Maijol dari Upko mewakili BN.

PBS menjadi pembangkang antara tahun 1990 hingga 2001 dan memohon menyertai BN pada 2002 ekoran kekalahan teruk parti itu pada PRU 1999 selain beberapa wakil rakyatnya melompat menyertai BN.

Sejak PBS melompat menyertai BN, Parlimen Kota Marudu diserahkan kepada PBS dan dimenangi Maximus pada PRU 2004 dan 2008.

Bagi mengelak Maijol dan beberapa pemimpin Upko menyertai pembangkang kerana tidak berpuas hati, maka Maijol dilantik sebagai Senator Dewan Negara sejak 6 Disember 2006 dan berakhir 8 Disember 2012.

Namun bagi anda yang menetap di Kota Marudu, keinginan Maijol menjadi calon bukan lagi rahsia apabila Naib Presiden Upko itu kerap menjelajah ke kawasan itu atas nama 'Ketua Upko Kota Marudu' sejak 2004 hingga kini.

Ini kerana beliau kehilangan hak bertanding di situ hanya selepas PBS melompat kepada BN sejak 2004 yang disifatkan beliau tidak adil kepada Upko.

Kebanyakan pemimpin Upko pun ialah bekas pemimpin yang meninggalkan PBS bagi menubuh Parti Demokratik Sabah (PDS) pada 1990 dan menukar nama menjadi Upko sejak 1994 hingga kini.

Sebab itu, pada 30 November 2011, Maijol dan Upko pernah mendesak Datuk Seri Najib Razak agar Sabah ditambah sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen bagi memberi peluang lebih banyak wakil parti itu menjadi calon dalam PRU.

Selain Upko dan PBS, BN Sabah memiliki komponen termasuk LDP, MCA, MIC, PPP, Umno, PBRS dan Gerakan.

Maka tindakan Maijol melancarkan APS peringkat Parlimen Kota Marudu semalam pastinya menjanjikan persaingan sengit antara PBS dan Upko yang sekian lama bersaing merebut ahli berasaskan masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di situ.

Pada PRU 1999 dalam pertandingan tiga penjuru, Maximus menang selepas meraih 8,465 undi atau 51 peratus dari jumlah pemilih yang keluar mengundi.

Manakala Maijol mendapat 6,781 undi atau 41 peratus dan baki undi itu diraih calon Bebas, Baintin Adun.

Namun, situasi politik kini berubah dan lebih memihak kepada pembangkang kerana APS sudah berjanji memastikan undi KDM dan Bumiputera Bukan Islam Sabah menyokong Pakatan Rakyat.

Adakah Maximus berjaya mengekalkan kerusi itu atau Maijol kembali merampasnya selepas terlepas peluang sejak dua penggal lalu? Ia hanya akan diketahui selepas PRU akan datang.

No comments: