JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, August 6, 2012

Lagi pemimpin BN keluar parti

Masdar Wahid

Tindakan dua Ahli Parlimen BN keluar parti dan menyokong Pakatan Rakyat pada 29 Julai lalu terus mendapat sokongan rakyat Sabah yang menyaksikan satu demi satu ahli parti itu meninggalkan BN.

Terbaru, John Hussein meletak semua jawatannya sebagai ahli Parti Bersatu Sabah (PBS-BN) dan Pemaju Mukim bahagian Kiulu dengan memberi notis selama 30 hari kepada partinya sejak 1 Ogos lalu.

John turut meletak jawatan sebagai Ketua PBS Cawangan Kampung Simpangan Lama dan Naib Pengerusi parti itu di Bahagian Kiulu serta menyokong perjuangan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang diasas dan diterajui Datuk Seri Wilfred M. Bumburing.

"Saya bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Wilfred Bumburing bahawa sistem penyampaian BN gagal memenuhi matlamat yang dikehendaki rakyat.

"Sebagai contoh, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu mengambil masa yang sangat lama untuk dilaksanakan dan kini pembinaannya terus terhenti tanpa penjelasan munabasabah," kata John.

Pembinaan SMK Nabalu, berdekatan kaki Gunung Kinabalu pernah diumum Datuk Seri Noh Omar selaku Menteri Pelajaran pada 10 Disember 2007, namun gagal dilaksana sehingga rakyat membuat bantahan dan menuntut janji itu.

Pada 21 Ogos 2009 pula, Timbalan Menteri Pelajaran yang baru, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata ia akan dibina bermula Oktober 2009 dengan peruntukan RM35 juta.

"Peruntukan sudah tersedia dan saya berharap projek pembinaan Sekolah Menengah Nabalu ini akan dilaksanakan secepat mungkin iaitu kalau boleh dalam tempoh dua bulan dari sekarang," kata Ahli Majlis Tertinggi Umno itu ketika berucap pada majlis bersama rakyat sempena lawatannya ke tapak sekolah itu di Dewan Pekan Nabalu, pada 21 Ogos 2009.

Namun, ia tidak siap juga sehinggalah pada 12 Disember, 2010 Wilfred semasa dalam BN memberi jaminan pembinaannya akan bermula pada 2011 dengan peruntukan RM45 juta.

"Projek SMK Nabalu ini sudah diluluskan untuk pembinaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan lagi dan sepatutnya kerja pembinaan dimulakan tahun lepas.

"Bagaimanapun, terdapat sedikit masalah berkenaan tawaran tender yang memerlukan pengubahsuaian dan keadaan ini sedikit sebanyak melambatkan pelaksanaan projek berkenaan," kata wilfred selepas menghadiri majlis perjumpaan semula pelajar Sek Men Keb Badin, pada 12 Disember 2010.

Manakala pada 23 Jun 2011, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata pembinaan sekolah itu siap pada hujung 2011.

"Saya dimaklumkan ada sedikit masalah teknikal mengenai isu ini kerana apabila sekolah itu ditender, dikatakan ia melebihi daripada bajet yang diluluskan dan terpaksa ditender semula.

"Akhir tahun lepas (2010) apabila ke Kuala Lumpur, saya dimaklumkan pertukaran tender baru itu kini telah diselesaikan, dan dalam lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sabah baru-baru ini, kita juga telah maklumkan perkara itu kepada beliau, dan isu itu akan diberi perhatian," kata Masidi.

Sehubungan itu, John berkata, beliau akan bekerjasama dengan dua bekas pemimpin Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Bahagian Tuaran, Lesaya Lopog Sorudim dan Daukim Gilu untuk membentuk dan menggerakan APS Bahagian Kiulu.

Lesaya ialah bekas Pegawai Maklumat Upko Tuaran, manakala Daukim ialah Bekas Bendahari Upko dari bahagian sama.

Sebelum ini, Naib Presiden Upko yang juga Senator Dewan Negara, Datuk Maijol Mahap; Pengerusi Tetap, Datuk Herman Tiongsoh serta Ahli Majlis Tertinggi; Denis Gimpah dan Petrus Guriting turut keluar parti dan menyokong Pakatan melalui APS pada 29 Julai lalu.

APS pimpinan wilfred memfokus pengundi Bumiputera Bukan Islam terutama masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di Sabah dengan beliau sudah menggempur Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan Parlimen Keningau sejak 1 Ogos lalu.

Kedua-dua kawasan itu diwakili Presiden PBS, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan sejak 1976 hingga kini dengan Pairin ketika ini merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Wilfred pula pernah mengajak presiden Upko, Datuk Seri Benard Dompok agar parti itu keluar parti menjelang 16 September 2008, namun ia senyap selepas beberapa pemimpin parti itu mendapat jawatan dalam BN.

No comments: