JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Sunday, August 26, 2012

Khalid Ibrahim datang, Umno berang


Walaupun kunjungan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar atas) ke Sabah pada 6 Ogos lalu hanya beberapa jam, namun ia sudah cukup mencemaskan BN negeri termasuk pengerusinya, Datuk Seri Musa Aman.

Bimbang kunjungan Khalid itu memperkukuh sokongan rakyat Sabah terhadap Pakatan, Musa tampil dengan memujuk rakyat agar jangan terpengaruh dengan dasar-dasar Pakatan.

“Saya hairan dengan MB dari PR ini, sanggup datang ke Gum-Gum menabur bermacam dakyah mengelirukan rakyat. Apa dia tahu pasal kawasan ini, sebaliknya dia jagalah negerinya," kata Musa.

Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga dan Ketua Umno Bahagian Libaran berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Sri Gum-Gum, Batu 16, Jalan Labuk, 25 Ogos lalu.

Pada 6 Ogos lalu, Khalid berkunjung ke Kampung Garinono, Sandakan atas jemputan KEADILAN Sabah Cabang Libaran pimpinan Ahmad Thamrin Jaini.

Selain bertarawih, berbuka puasa, berdailog dengan masyarakat setempat, Khalid turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan ke-pada warga emas dikenali sebagai Puan Gerobo (gambar bawah) yang hidup sebatang kara di Kampung itu.

Khalid tersentuh dengan keadaan kehidupan wanita itu yang tinggal seorang diri tanpa saudara-mara di sebuah rumah usang.

Turut serta, Thamrin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah (MPN), Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) negeri, Serman Hassnar, Pengerusi Zon Sandakan, Mustapha Datu Tambuyong dan pimpinan lain.

Pada majlis berasingan, Khalid dalam ucapannya menjelaskan pelbagai dasar merakyatkan ekonomi Selangor termasuk pemberian air percuma, Skim Mesra Usia Emas, pembiayaan pendidikan kepada bakal mahasiswa dan sebagainya.

Khalid menjelaskan, walaupun Laporan Audit Negara memuji pentadbiran kerajaan Selangor dan negeri lain pimpinan Pakatan, namun media kawalan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak melaporkannya.

Sehubungan itu, Khalid menyeru rakyat Sabah memanfaatkan media alternatif dan berita di internet untuk dicetak dan disebar kepada pengundi negeri itu.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah berani membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum akan datang dengan memastikan undi hanya untuk calon Pakatan Rakyat.

Ini kerana katanya, dasar Pakatan jelas lebih baik, telus, pro rakyat dan menguntungkan rakyat berbanding dasar Umno BN yang hanya memperkaya segelintir kecil kroni yang rapat dengan pemerintah.


Pada majlis itu, Khalid turut menerima penyertaan kira-kira 300 anggota baru KEADILAN Cabang Libaran dari pelbagai ranting parti yang aktif ditubuh di kawasan itu.

No comments: