MIRI: Kenaikan harga telur enam puluh sen untuk satu set (tray) menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna khususnya pada bulan Ramadan ini.
Justeru, terdapat segelintir pengguna mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil tindakan sewajarnya lebih-lebih lagi sepanjang bulan puasa dan menjelang hari raya.
“Saya terkejut melihat harga telur tiba-tiba naik sehingga enam puluh sen untuk satu tray berbanding bulan lepas,” jelas seorang suri rumah, Elza Sahari, 28 dari Tudan Phase 2 semalam.
Menurut Elza, harga satu tray untuk telur Gred A yang mengandungi 24 biji telur hanya berharga RM11.20 bulan lepas berbanding sekarang RM11.80.
“Kenaikan harga telur secara drastik ini boleh menyebabkan pengguna berasa terbeban memandangkan telur digunakan untuk membuat kek dan makanan lain sepanjang bulan ini dan menjelang perayaan Hari Raya,” katanya.
Beliau berharap agar pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya memandangkan ia secara langsung akan menjejaskan perbelanjaan pengguna.
Seorang lagi pengguna, Latip Osman, 50, meminta pihak yang berkaitan untuk memantau isu kenaikan harga telur terbabit di sini bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap kenaikan tersebut.
“Saya minta pihak KPDNKK memantau dan mengambil tindakan yang sepatutnya untuk mengelakkan segelintir pihak yang akan mengambil kesempatan di atas kenaikan harga telur tersebut,” katanya.
Harga telur yang dilaporkan naik mengikut gred adalah seperti Gred AA (RM12.10 satu tray), Gred A (RM11.80 satu tray), Gred B (RM11.50 satu tray), Gred C (RM11.20 satu tray), Gred D (RM9.80 satu tray) dan Gred F (RM7.60 satu tray).
Menurut salah seorang penjual telur, kenaikan harga telur berkenaan adalah berikutan dengan kenaikan harga yang dikenakan oleh pembekal.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Miri (CAM), George Francis, ketika dihubungi semalam terkejut dengan isu kenaikan harga telur tersebut.
Beliau berkata tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkaitan berhubung dengan kenaikan harga telur dan juga tiada aduan daripada pengguna.
“Memang tidak dinafikan permintaan terhadap telur memang meningkat berikutan bulan puasa dan akan menjelang perayaan Hari Raya. Tetapi itu bukan alasan yang munasabah untuk segelintir penjual atau pembekal menaikkan harga telur,” katanya.
Jelasnya, sekiranya telur adalah barangan terkawal, pihak yang berkaitan seharusnya mengambil tindakan sewajarnya dan memantau isu berkenaan.
“Susah bagi pengguna untuk memboikot tidak membeli telur tersebut kerana ia adalah barangan yang diperlukan terutamanya pada bulan puasa ini dan musim perayaan kelak,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Cawangan KPDNKK Miri, Zakaria Awang ketika dihubungi di Kuching semalam memberitahu pihaknya akan memantau isu berkenaan dengan segera.
No comments:
Post a Comment