KUALA LUMPUR: Mahal. Itulah rungutan yang diterima daripada pengunjung bazar Ramadan sekitar Bangsar, di sini, dan beberapa bazar lain sekitar ibu kota.
Difahamkan, semua harga makanan dan minuman naik mendadak sehingga mendatangkan rasa tidak puas hati di kalangan pembeli terutama yang berpendapatan rendah.
Jika dulu, sebiji kuih dijual dengan harga 30 sen kini naik kepada 40 sen hingga 50 sen bergantung kepada saiz dan jenis, manakala pelbagai jenis nasi turut mengalami kenaikan ketara seperti nasi kerabu dijual pada RM4 tahun lalu kini RM6 sebungkus.
Malah, tinjauan Harian Metro ke beberapa bazar di sini, mendapati harga ikan pari dijual RM8 (tahun lepas RM7), murtabak RM3 (RM2.50), ayam percik RM3 atau RM4 (RM2).
Pengunjung, Siti Haslina Hamzah, 30, berkata, dia tidak menolak kemungkinan peniaga kuih dan lauk menaikkan harga jualan berikutan barang keperluan asas seperti gula dan minyak masak mengalami peningkatan harga.
Katanya, peningkatan itu bukanlah alasan utama mereka untuk menaikkan harga sesuka hati dan ini seakan mengambil peluang ke atas pembeli yang sanggup membeli apa saja sempena Ramadan ini.
“Saya rasa peniaga tidak patut menaikkan harga kuih kerana mereka sudah mendapat keuntungan, semua barang dibeli dengan harga pukal bukannya runcit, jadi tak timbul isu modal berlebihan dan sebagainya,” katanya.
Pengunjung Wan Nasuha Wan Kadir, 25, berkata dia sudah berkunjung ke beberapa bazar Ramadan sekitar ibu kota dan mendapati kebanyakan harga nasi dan kuih dijual dengan harga tidak selaras yang mana ada antaranya dijual terlalu mahal.
“Saya ada tinjau harga ayam golek di beberapa bazar Ramadan, kebanyakannya dijual pada harga RM18 seekor namun ada juga yang mencecah RM25. Ini menunjukkan peniaga sewenang-wenangnya menetapkan harga jualan mereka sendiri.
“Sudahlah harga mahal, ada sebahagian peniaga mengambil kesempatan dengan mengecilkan saiz kuih untuk menjimatkan kos dan ini memang tidak adil kepada pembeli,” katanya.
Katanya, pengguna memahami mengenai kenaikan kebanyakan harga barang kini tetapi adalah tidak adil jika harga dinaikkan sesuka hati tanpa memikirkan kesannya kepada pembeli.
No comments:
Post a Comment