JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, May 18, 2011

Guru Kecewa Berita Baik Hanya Untuk Boss Boss

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) yakin kerajaan akan menangani rintihan serta masalah yang dihadapi oleh kira-kira 400,000 guru kelas biasa dan memberikan mereka lebih
banyak peluang kenaikan pangkat.

Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata guru-guru ini yang merupakan ‘teras’ pendidik peringkat akar umbi, seharusnya bertenang dan meneruskan
tugas-tugas murni mereka seperti biasa, dan menyerahkan kepada kesatuan soal mengenai perjuangan menjaga kebajikan mereka.

Katanya kenyataan beliau itu adalah sebagai menyuarakan ‘rasa kecewa dan kebimbangan’ para guru ini dengan pengumuman kerajaan pada Hari Guru baru-baru ini yang membawa berita gembira kepada lebih 2,000 guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.

“Ironinya di sebalik membawa kegembiraan, pengumuman itu menimbulkan kebimbangan dan rasa sedih di kalangan guru kerana sejumlah besar daripada mereka seperti diketepikan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pihak kesatuan yang mewakili 140,000 guru di seluruh negara akan berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secepat mungkin untuk memaklumkan sendiri mengenai rintihan dan masalah yang dihadapi oleh guru kelas biasa.

Lok berkata pihak kesatuan tidak akan menghampakan guru-guru ini kerana mereka merupakan “tonggak” pendidikan, di mana semua sekolah bergantung kepada kejayaan meraka melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Tanpa dedikasi guru-guru kelas ini, kalangan guru besar dan pengetua sahaja tidak akan dapat mengendalikan sekolah,” katanya.

Sementara itu tinjauan rambang Bernama mengesahkan kenyataan kesatuan itu bahawa ramai guru pada dasarnya tidak berpuas hati dengan pengumuman kerajaan yang memberikan kelebihan hanya buat ketua-ketua sekolah.

Seorang guru yang dikenali sebagai Chandran, 45, yang berpengalaman 18 tahun mengajar berkata beliau amat sayangkan karier sebagai seorang guru dan amat sayangkan muridnya, namun beliau merasa kecewa kerana merasakan dedikasinya selama ini seperti tidak dipandang.

“Saya biasanya pulang ke rumah sejam atau dua jam lebih lewat kerana saya lanjutkan masa mengajar di sekolah, khusus buat pelajar yang lemah, malah saya ambil inisiatif himpunkan mereka pada hujung minggu untuk membantu mereka dalam pelajaran, namun ini nampaknya tidak dihargai oleh pihak sekolah,” katanya.

Seorang lagi guru yang dikenali sebagai Miss Tan berkata beliau sedih dengan pengumuman itu, kerana beliau mahupun rakan-rakan sejawatannya tidak memperolehi apa-apa manfaat daripadanya.

“Kami bekerja keras, tapi dedikasi kami seperti tidak dihargai,” katanya. – BERNAMA = 18 Mei 2011

No comments: