JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, May 30, 2011

Utusan Malaysia didenda

Mahkamah Perusahaan memerintahkan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. membayar tunggakan bonus dua bulan gaji kepada petugasnya bagi 2009.

Dalam keputusan yang diumumkan pada 24 Mei, presiden mahkamah itu, Susila Sithamparam berkata Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) yang membawa kes itu ke mahkamah telah membuktikan bahawa Utusan Melayu mencatat keuntungan pada tahun berkenaan.

Kata beliau, dalam penyata beraudit 2009 yang terkandung dalam laporan tahunan 2009-nya, Utusan Melayu mengisytiharkan bahawa ia mencatat keuntungan kumpulan berjumlah RM5.121 juta.

"Responden (Utusan Melayu) tidak boleh menolak hakikat bahawa ia adalah sebuah syarikat pemegangan dan mempunyai anak syarikat. Mahkamah berpendapat perkataan 'keuntungan' atau profit dalam Perkara 44 Perjanjian Bersama membawa maksud keuntungan yang diraihnya sebagai sebuah syarikat pemegangan pada 2009.

"Kesatuan itu telah membuktikan responden (Utusan Melayu) mencatat keuntungan pada 2009," katanya.

Susila memerintahkan Utusan Melayu mematuhi Perkara 44 Perjanjian Bersama dengan serta-merta.

"Oleh kerana responden telah memberi bayaran ex-gratia sebulan gaji kepada setiap petugasnya untuk 2009, maka ia boleh menolak jumlah yang telah dibayar itu daripada bayaran bonus dua bulan gaji yang perlu dibayar kepada mereka untuk 2009," katanya.

NUJ membawa kes itu ke mahkamah pada 23 Mac tahun lepas apabila Utusan Melayu tidak membayar bonus dua bulan gaji kepada petugasnya untuk 2009 dengan alasan sehingga 31 Disember 2009, penerbit akhbar Utusan Malaysia itu mengalami kerugian RM26,169,490 sebagai syarikat individu.

NUJ memohon mahkamah memerintahkan syarikat itu supaya mematuhi Perkara 44 Perjanjian Bersama bertarikh 5 September 2006 yang ditandatangani antara NUJ dengan Utusan Melayu (M) Bhd. - BERNAMA

No comments: