KUALA LUMPUR: Skim Rumah Pertamaku yang dilancarkan Mac lalu bagi membantu golongan muda berusia sehingga 35 tahun memiliki kediaman pertama dengan pembiayaan 100 peratus, dikatakan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kebanyakan golongan itu.
Meskipun memenuhi kriteria asas ditetapkan termasuk pendapatan di bawah RM3,000, golongan muda ini akan menghadapi masalah sebaik ‘dinilai’ institusi perbankan yang mengambil bahagian dalam menawarkan pembiayaan bagi kediaman bernilai antara RM100,000 hingga RM220,000, seperti dikehendaki skim berkenaan.
Eksekutif Teknologi Maklumat (IT), Nur Syafinas Zamri, 26, berkata, beliau teruja mengetahui kewujudan Skim Rumah Pertamaku yang diumumkan sebagai salah satu inisiatif bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat pada pembentangan Bajet 2011, tahun lalu.
Bagaimanapun, Nur Syafinas yang bekerja sebaik memperoleh Ijazah Sarjana Muda berkata, pendapatannya, meskipun di bawah RM3,000, tidak memungkinkan beliau membeli kediaman di bawah skim itu.
Dengan gaji pokok berserta elaun tetap RM2,680 sebulan, Nur Syafinas terpaksa mengeluarkan perbelanjaan melebihi RM1,700 sebulan bagi potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ansuran bulanan kereta, bayaran pinjaman pelajaran, kad kredit serta perbelanjaan harian dan wang diberi kepada keluarga.
“Apabila menghubungi pihak bank, mereka memaklumkan ansuran bulanan bagi pembiayaan perumahan saya di bawah skim itu secara kasar berjumlah RM1,025 dan ia melebihi syarat pembayaran balik di bawah skim berkenaan yang sepatutnya tidak melebihi 1/3 daripada pendapatan bulanan individu,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Kakitangan swasta, Naizatul Zamrina Karizaman, 26, berkata tinjauan dilakukannya mendapati hartanah sekitar Lembah Klang hanya bermula pada RM300,000 seunit, melepasi skala harga ditetapkan kerajaan melalui skim itu.
Beliau berhasrat membeli kediaman di ibu kota supaya dapat menetap berhampiran ibu bapanya selain memudahkannya berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.
“Mustahil mendapat kediaman di ibu kota berharga antara RM100,000 hingga RM220,000. Jika adapun harga murah, mungkin hanya rumah dilelong.
“Satu-satunya pilihan yang ada sekiranya golongan muda mahu mendapatkan hartanah melalui skim itu ialah memilih kediaman di pinggir bandar yang kebanyakannya terletak 50 kilometer (km) dari ibu kota,” katanya.
Seorang lagi kakitangan swasta, Noor Amalina Ahmad, 23, berkata konsep pembiayaan pinjaman 100 peratus, yang turut digunakan dalam pembiayaan pinjaman kenderaan, akan menyebabkan golongan muda menanggung bayaran ansuran lebih tinggi setiap bulan.
“Untuk memanfaatkan skim ini, mungkin golongan muda boleh mengambil sedikit masa dengan membuat simpanan terlebih dulu bagi memastikan kedudukan kewangan stabil ketika dinilai institusi perbankan apabila permohonan pembiayaan perumahan dilakukan,” katanya.BH=11 Mei 2011
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment