JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Saturday, May 30, 2009

Hospital kerajaan kurang bekalan darah


TUARAN: Hampir semua hospital kerajaan di Sabah dikesan berdepan masalah kekurangan bekalan darah yang mencecah tahap kritikal bagi menampung keperluan pesakit, terutama apabila berlaku kes kecemasan seperti kemalangan jalan raya.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Jahid Jahim, berkata keadaan itu bermakna masyarakat perlu tampil dan melaksanakan tanggungjawab menderma darah secara berterusan.

"Tahun lalu saja, sebanyak 223 kes kemalangan jalan raya termasuk enam membabitkan kematian dirujuk ke Hospital Tuaran, selain 130 kes wanita bersalin.

"Semua itu memerlukan bekalan darah mencukupi bagi menyelamatkan nyawa pesakit dan kita harap orang ramai menyedari kepentingan perkara ini kerana satu hari nanti, mungkin kita yang memerlukan bantuan sama," katanya ketika ditemui sempena kempen derma darah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Tuaran di sini, kelmarin.

Kegiatan tahunan PBSMM Tuaran bersama Tabung Darah Hospital Likas, Kota Kinabalu dan Tabung Darah Hospital Papar itu berjaya mengumpul 48 pain darah.

Jahid berkata, orang ramai wajar menyedari kepentingan memastikan tabung darah hospital kerajaan mempunyai bekalan mencukupi.

"Setiap jenis darah penting kerana keperluan terhadapnya boleh berlaku kepada sesiapa, tidak kira tempat atau waktu," katanya.

Beliau berkata, kajian menunjukkan hanya dua peratus rakyat negara ini menderma darah berbanding keperluan sekurang-kurangnya lima peratus seperti disarankan pada 2007.

berita harian

No comments: