JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, May 14, 2009

Penyalahgunaan Dadah dikalangan Mahasiswa Meningkat

Sebuah akhbar baru-baru ini melaporkan hampir 100 Tentera terlibat dengan najis dadah sepanjang Januari hingga April tahun ini. Sebentar tadi, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohmad Salleh mengeluarkan kenyataan berkenaan peningkatan turut berlaku dikalangan mahasiswa pada tempoh yang sama?


Penulis teringat beberapa minggu lalu seorang rakyat asing ditahan di negaranya sendiri kerana didakawa membawa beberapa bungkusan najis dadah. Anehnya, warga asing itu terlepas pula pada pemeriksaan di lapangan terbang Malaysia.

Persoalannya, sejauh mana keseriusan kerajaan dalam menangani hal2 kronik seperti ini?

Sila baca berita berikut yang penulis kutip dari Berita Sri Aman

Jumlah pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA / IPTS) di Sarawak yang ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi tempoh bulan Januari hingga April tahun ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding tempoh yang sama bagi tahun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohmad Salleh berkata pihak polis telah menahan sejumlah 16 pelajar bagi kesalahan bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 tempoh bulan Januari hingga April tahun 2008.

Manakala itu bagi tempoh bulan Januari hingga April tahun ini, pihak polis pula telah menahan sejumlah 25 orang pelajar bagi kesalahan bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Daripada jumlah ini, boleh dikatakan bahawa pembabitan jumlah pelajar dalam kes penyalahgunaan dadah telah menunjukkan jumlah peningkatan yang ketara bagi tempoh suku tahun pertama tahun ini berbanding suku pertama tahun lepas.

“Lagipun untuk pengetahuan anda sejumlah 48 orang pelajar telah ditangkap di bawah Seksyen 6, Seksyen 12 (2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang lagi ditangkap di bawah Seksyen 3 (1) APD (R&P) 1998 untuk sepanjang tahun 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berlangsungnya persidangan media di bilik mesyuarat Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman sebelum mempengerusikan Mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik / Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Suku Tahun Pertama Tahun 2009 di situ hari ini.

Mohmad juga turut menambah bahawa bagi sepanjang tahun 2008 sebanyak 2,628 kes dilaporkan dengan 2,893 orang tangkapan dibuat bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952 termasuk 10 kes dengan 17 orang tangkapan di bawah Seksyen 39 B ADB 1952 dan 58 kes dengan 90 orang ditangkap bawah Seksyen 39 A ADB 1952.

“Lagipun pihak kita juga mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus di bawah ADB 1952 apabila sejumlah 1,121 kes dengan 1,251 tangkapan dibuat bagi tempoh bulan Januari hingga April 2009 berbanding 951 kes dan 1,066 tangkapan bagi tempoh yang sama untuk tahun 2008,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Bahagian JSJ Narkotik Sarawak, Superitenden (Supt) Moses Agat dan penolongnya, DSP Osman dan Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad.

Berikut ialah berita dari Borneopost

KUCHING: Pendapatan anggota Tentera Darat (TDM) yang tinggi ditambah dengan insentif elaun dan kemudahan sedia ada merupakan salah satu faktor pengambilan dadah di kalangan anggota tentera.

Panglima Tiga Briged Datuk Jeyabalan S berkata TDM tidak akan berkompromi dengan kesalahan-kesalahan penyalahgunaan dadah di kalangan anggotanya.

“Harga dadah yang agak murah serta mudah diperolehi turut menjadi faktor penglibatan anggota tentera dalam pengambilan dadah,” katanya dalam ucapan perasmian penutupan Forum Tempat Kerja Bebas Dadah di Kem Penrissen semalam.

Jeyabalan menarik perhatian, terdapat juga kemudahan-kemudahan di kem tentera digunakan oleh penagih bagi menjalani aktiviti penyalahgunaan dadah.

Justeru katanya, 1 Divisyen perlu mengambil pelbagai langkah untuk mengelak kem tentera digunakan sebagai tapak kegiatan penyalahgunaan dadah dan jenayah di kalangan anggota tentera.

“Sehubungan itu, agensi seperti Cawangan Siasatan Jenayah Tentera Darat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis, kastam dan Unit Pencegahan Penyeludupan perlu lebih proaktif dengan pengawalan ketat di semua kawasan negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Staf 1 Undang-Undang Markas Medan Angkatan Tentera Leftenan Kolonel Zahari Mohd Ariffin berkata seramai 90 anggota tentera darat dikenal pasti terlibat dalam penyalahgunaan dadah dari Januari hingga April tahun ini (2009).

Menurut beliau, pada akhir tahun 2008, daripada keseluruhan 120,000 anggota TDM, seramai 214 dikenal pasti positif dadah.

“Enam puluh (60) peratus daripada mereka telah dikenakan tindakan, 20 peratus dalam proses pemberhentian dan 20 peratus lagi masih disiasat,” katanya semasa ditemui pada program Forum Tempat Kerja Bebas Dadah semalam.

Beliau memberitahu angkatan tentera akan menjalankan ujian saringan secara mengejut pada bila-bila masa bagi memeriksa air kencing para anggota untuk mengenal pasti anggota yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Air kencing para anggota yang diambil menerusi saringan ini dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian pengesahan.

“Jika didapati positif, anggota ini akan disabit kesalahan di bawah Seksyen 51 (Melanggar Undang-Undang Tetap Pasukan) dan Seksyen 87 (Kelakuan Memudaratkan Tatatertib Perkhidmatan) Akta 1972,” katanya.

Justeru katanya, anggota terlibat akan diberhentikan kerja di bawah akta ‘Army And Airforce Term Of Service Regulation’, dan dikenakan hukuman penjara dua tahun.

Forum Tempat Kerja Bebas Dadah adalah anjuran bersama AADK dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sembilan briged dari Sibu, lima briged dari Sabah dan tiga briged dari Kuching iaitu seramai 152 peserta yang terdiri daripada 14 pegawai tentera dan 138 tentera pelbagai pangkat menyertai forum antidadah itu.

Bertemakan ‘Dadah Musuh No.1 Negara’, ahli panel forum tersebut ialah Zahari, Pegawai Kastam Frankie Sigai dan Penolong Pengarah AADK Yap Chung Hong serta Profesor Madya Dr Abang Ahmad Ridzuan Awang Awit daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) selaku pengerusi.

Turut diadakan ialah pameran mengenai jenis-jenis dadah, langkah-langkah menghindari dadah, kesan-kesan pengambilan dadah dan sebagainya.

No comments: