JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, May 7, 2009

Jangan Malu Berbahasa Iban


LUBOK ANTU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Mong Dagang kecewa dengan sikap segelintir kaum Iban yang enggan bercakap bahasa Iban apabila bertemu sesama sendiri di bandar kerana malu identiti mereka diketahui umum.

Mong bimbang sekiranya sikap sedemikian terus diamalkan dan diikuti generasi muda akan datang maka ia boleh menghapuskan identiti kaum Iban.

Justeru, katanya jauh sekali buat golongan ini mahu menghidup dan mengekalkan budaya serta permainan Iban seperti ‘bersengai’, ‘beremban’, ‘bepantun’, berenung, ‘mengap’ ngajat dan sebagainya.

Katanya, tidak salah buat golongan berkenaan bercakap menggunakan bahasa lain sekiranya bertemu sesama sendiri tetapi harus ingat identiti sendiri, tambah Mong.

“Kalau kita malu bercakap dalam bahasa Iban semasa bertemu sesama sendiri kerana malu identiti diketahui bangsa lain, perkara itu amat mengecewakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Program Rakan Muda Kesukarelawanan, Kemasyarakatan dan Seni Budaya Peringkat Parlimen Lubok Antu di Rumah Jubang, Sebangki Panjai di sini, baru-baru ini.

Majlis itu dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman dengan kerjasama JKKK Jubang, Sebangki Panjai selama satu malam dua hari.

Seramai 40 belia di sekitar Lubok Antu dan Engkilili menyertai program berkenaan.

Sementara itu Mong selaku Ketua Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) berpesan kepada golongan lepasan sekolah agar jangan memikirkan bahawa apabila gagal dalam peperiksaan peperingkat menengah maka berakhirnya perjuangan untuk memajukan diri sendiri.

Sebaliknya banyak peluang yang disediakan oleh kerajaan buat mereka untuk terus menimba ilmu sekiranya mahu berjaya seperti orang lain.

Menurutnya, sekiranya prestasi pelajaran mereka tidak memuaskan, mereka boleh memasuki pusat kemahiran untuk mengikuti kursus kimpalan, pertukangan tangan, pendawaian dan sebagainya.

“Yang penting jangan putus asa namun ibu bapa harus sama-sama memberi galakan dan sokongan dalam usaha memajukan anak masing-masing,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis itu Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman Syennier Jean Serit, Pembantu Luar Kanan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Batang Ai Linda Lim Kawi dan ketua-ketua masyarakat sekitar Lubok Antu.

1 comment:

IX Dance fever said...

saya hendak membelajar tentang permainan tradisi Kaum Iban, bolehkah kamu memberitahu info tentang tradisi Kaum Iban kepada saya? Terima Kasih...