Pendaftaran pemilih di Sabah agak mengecewakan apabila lebih 300,000 pengundi yang layak masih tidak berbuat demikian.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah pemilih yang didaftar sehingga kini di negeri ini ialah sebanyak 864,961 orang berbanding 1.169 juta rakyat yang layak mendaftar.
“Seramai 304,943 orang masih belum mendaftar. Ini agak besar dan satu jumlah yang merugikan dalam menghadapi pilihan raya
umum akan datang,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah pada 30 Julai lalu.
Turut hadir Pengarah SPR Sabah, Datuk Md. Idrus Ismail.
Tambah Wan Ahmad, semua pihak harus mempergiatkan usaha bagi memastikan lebih ramai pengundi yang layak didaftarkan.
Beliau berkata, jumlah pemilih yang didaftarkan SPR merupakan pemilih sah, iaitu warganegara yang mencapai umur 21 tahun ke atas.
Tambah beliau, pihaknya meminta mana-mana pihak yang mendakwa SPR mendaftarkan pemilih bukan warganegara supaya tampil mengemukakan bukti.
Sementara itu, beliau berkata, kegagalan Pembantu Pendaftar Politik (PPP) yang terdiri daripada pelbagai parti politik melaksanakan tugas dengan baik menyebabkan banyak pendaftaran pemilih baru di negeri ini terpaksa ditolak.
Jelasnya, antara punca utama pendaftaran pemilih yang dibuat PPP ini ditolak ialah kerana mendaftar nama pemilik yang telah berdaftar, mendaftarkan pemegang kad penduduk tetap dan mendaftar pemilih yang belum cukup umur.
“Ini merupakan tiga faktor terbesar iaitu sehingga Jun lalu, kita terpaksa menolak 2,500 borang yang dihantar oleh PPP,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Wan Ahmad berkata, bagi memastikan ketelusan pendaftaran pemilih, SPR menggugurkan purata 7,000 nama pemilih yang telah meninggal dunia setiap bulan.
No comments:
Post a Comment