JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Friday, July 8, 2011

Zulhaidah mengaku tidak bersalah

Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Zulhaidah Suboh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Miri semalam atas tuduhan memiliki dan mempamerkan baju-T bertulis BERSIH 2.0.

Zulhaidah, 38, dari Taman Da Sing, Taman Tunku Miri didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan yang dihadapi.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa tidak mempunyai kuasa atau sebab sah di sisi undang-undang kerana didapati memiliki dua helai baju-T bertulis ‘BERSIH 2.0’.

Manakala tuduhan kedua, beliau didakwa tidak mempunyai kuasa atau sebab sah di sisi undang-undang kerana didapati mempamerkan sehelai baju-T bertulisan ‘BERSIH 2.0’.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya pada jam 1.45 petang, 4 Julai lalu di Lapangan Terbang Miri.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Yaccub Chik memohon ditetapkan satu tarikh baru untuk perbicaraan kes ini kerana tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Yaccub turut mencadangkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 untuk setiap tuduhan yang dihadapinya kerana dilakukan tertuduh adalah serius dan kononnya boleh menjejaskan imej dan ekonomi negara.

Pun begitu, jumlah jaminan itu dibantah ketiga-tiga peguam bela Zulhaidah yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Piasau, Ling Sie Kiong, Majen Panyog dan Abun Sui Anyit.

Menurut Ling, jumlah jaminan RM5,000 yang ditawarkan pihak pendakwa terlalu tinggi sedangkan denda maksimum bagi kesalahan yang didakwa ke atas tertuduh tidak melebihi RM5,000 jika sabit kesalahan.

Justeru beliau berharap mahkamah mengurangkan jumlah jaminan yang ditawarkan itu dan tidak menjadikan ia (wang jaminan) satu hukuman kepada tertuduh.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak pendakwa dan peguam bela, Majistret Nasrul Hadi Abdul Ghani kemudian menetapkan 15 dan 16 Ogos depan untuk perbicaraan lanjut.

Manakala tertuduh dibenarkan untuk dibebaskan dengan ikat jamin tunai RM4,000 berserta seorang penjamin tempatan (bapa Zulhaidah) bagi setiap tuduhan dihadapi, menjadikan jumlah jaminan adalah RM8,000.

Zulhaidah yang juga Timbalan Ketua AMK Sarawak adalah individu pertama yang ditangkap polis mengenai himpunan Bersih di Sarawak.

No comments: