JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, July 25, 2011

PAS, Umno dan KEADILAN bersatu bantah judi

KUALA LUMPUR : Pemimpin PAS, Umno dan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Bandar Tun Razak mengadakan demonstrasi aman bersama 200 penduduk bagi mendesak pihak berkuasa menutup sebuah premis judi siber di kawasan itu pada 24 Julai lalu.

Difahamkan premis itu sudahpun beroperasi sejak dua bulan lalu dan apa yang dikesali penduduk, kegagalan pihak berwajib untuk mengambil sebarang tindakan walaupun telah banyak aduan dibuat.

Antara yang menyertai demonstrasi itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Rizalman Mokhtar, Yang Dipertua Pas Kawasan Bandar Tun Razak, Md. Shukor Aziz dan wakil peribadi kepada Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Hazman Abidin.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Hazman berkata, isu kemasyarakatan itu seharusnya dipandang serius semua pihak tanpa fahaman politik berbeza untuk bekerjasama.

"Jika kami tidak mengambil sebarang tindakan hari ini, dikhuatiri percambahan pusat judi haram ini berterusan di sini," katanya.

Dalam pada itu, Md. Shukor turut mempertikaikan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangani aduan penduduk berhubung kewujudan premis tersebut.

"Apa yang menghampakan penduduk, walaupun beberapa kali serbuan dibuat, premis ini masih beroperasi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh ketika dihubungi memaklumkan premis tersebut diserbu untuk kali ketiga pada hari itu.

"Pada hari ini (24 Julai 2011), kami merampas kesemua peralatan komputer yang dipercayai mempunyai unsur perjudian di dalam premis ini.

"Kami meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik dan akan menghubungi DBKL untuk mengambil tindakan susulan ke atas pemilik premis itu," katanya.

No comments: