Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa jentera Pakatan Rakyat Sarawak memfokuskan persediaan ke arah menawan sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen di negeri itu.
Bercakap dalam satu majlis di Parlimen Mambong yang majoritinya masyarakat Bidayuh, Anwar menegaskan jika gabungan KEADILAN, PAS dan DAP berjaya memenuhi hasrat itu, impian membentuk kerajaan baru pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang lebih cerah.
“Jika kita boleh memenangi 15 kerusi di Sarawak, ia akan menjadi ‘batu loncatan’ bagi kita untuk membentuk kerajaan baru pada PRU akan datang.
“Sebab itulah kita mesti menang di (Parlimen) Mambong (ini) dan (juga) kawasan lain di bandar dan di luar bandar,” kata Anwar pada 16 Julai.
Turut serta, Naib Presiden KEADILAN berketurunan Bidayuh, Dr John Tenewi Nuek yang juga Pengerusi Biro Integrasi Nasional parti itu.
Dua lagi Parlimen majoriti Bidayuh di negeri itu ialah Mas Gading dan Serian dengan sokongan kaum itu antara yang konsisten terhadap KEADILAN sejak 2008 hingga kini. (3+)Sebelum ini, dalam satu ceramah di Papar, Sabah, Anwar menyasarkan Sabah dan Sarawak perlu menang masing-masing minima 10 kerusi Parlimen bagi memastikan Pakatan Rakyat menang pada PRU akan datang.
Difahamkan, sasaran bertambah menjadi 15 kerusi Parlimen itu berdasarkan sokongan rakyat terhadap Pakatan yang kian meningkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang berakhir 16 April lalu.
Berdasarkan keputusan itu, Pakatan Sarawak sudah pun menang di enam kerusi Parlimen majoriti masyarakat Cina iaitu, Stampin, Sarikei, Lanang, Miri, Sibu dan Kuching seperti diakui ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Dr Lee Boon Chye dalam satu ceramah di negeri itu baru-baru ini.(6+)
Manakala Timbalan Presiden PAS, Mohd Sabu semasa berucap di Miri menekankan partinya bersama Pakatan Rakyat turut komited untuk menawan Parlimen Baram, Sibuti, Batang Lupar, Petra Jaya, Limbang dan Batang Sadong yang kombinasi pengundinya adalah Bumiputera Sarawak.(6+)
(Secara matematiknya, 6 + 6 + 3 = 15 Parlimen Sarawak).
Parlimen Limbang pada PRU lalu misalnya, KEADILAN hanya tewas 676 undi sahaja.
Manakala bagi DUN Beting Maro pada PRN lalu, PAS hanya tewas 391 undi dengan kubu kuat BN itu majoritinya Melayu/Melanau.
Sementara itu, dakwaan sesetengah pihak kononnya Pakatan sukar menang di kawasan luar bandar dinafikan terus melalui kemenangan KEADILAN di DUN Ba'kelalan, Sarawak pada PRN lalu.
DUN itu yang diakui sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai antara kawasan terpencil dan bermasalah samada dari segi insfraktuktur dan perhubungan menyaksikan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Baru Bian menang selepas menewaskan calon BN yang juga peguam di DUN itu.
Menariknya, Najib sendiri berkempen di DUN itu di saat-saat akhir sebelum pengundian pada 16 April lalu melalui pelbagai peruntukan yang belum pasti ditunaikan.
Dalam bahasa mudahnya, Anwar mahu pembentukan kerajaan baru pada PRU akan datang memerlukan gabungan kerusi Parlimen dari semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagaimana dasar Buku Jingga yang mengiktiraf kedua-dua negeri borneo itu.
No comments:
Post a Comment