Gelombang Bersih bukan sahaja dirasai di Semenanjung Malaysia dan Sarawak malah turut merebak ke Sabah.
Ini terbukti pada 9 Julai lalu, Markaz PAS Sabah di daerah Tawau, di Jalan Kuhara yang menyediakan tayangan langsung mengenai himpunan Bersih dari semenanjung turut tidak terlepas dari pemantauan polis.Ini kerana seawal 8 pagi, beberapa kenderaan polis berlegar-legar di kawasan itu selain beberapa jurugambar yang dipecayai Pegawai Cawangan Khas mengambil gambar di markaz tersebut yang turut dihadiri pimpinan PAS dan DAP.
"Seawal jam 8.00 beberapa orang petugas sudah membuat persiapan memasang skrin layar putih bagi mengikuti perkembangan semasa BERSIH 2.0 di semenanjung Malaysia dan seawal itu jugalah Jabatan Penyiaran, Helikopter, serta pegawai polis membuat rondaan dan ada sebilangan pihak Cawangan Khas yang mengambil gambar," kata Pemuda PAS Kawasan Tawau.Sementara itu, Pemuda PAS Kawasan Sepanggar mengecam tindakan polis yang menangkap Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu.
Menyifatkan tangkapan itu diluar bidang kuasa polis, Pemuda PAS Kawasan Sepanggar mengingatkan polis agar tidak keterlaluan menahan dalam tindakan mereka kerana kesalahan itu tidak jelas.
"Tindak biadap polis menggari Ketua Pemuda PAS Sabah menggambarkan polis telah bertindak diluar bidang kuasa.
"Dewan Pemuda PAS kawasan Sepanggar mengecam cara penahanan tersebut dan ingin mengingatkan pihak polis agar jangan keterlaluan apabila menahan mana-mana pihak yang belum tentu akan kesalahan mereka," kenyataan itu dipetik.
Sehubungan itu, pihaknya sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang mengenai insiden itu.
"Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, saudara Julfikar Abd Mijan, tindakan mahkamah akan diambil terhadap cara penahanan tersebut.
"Pihak polis harus bertanggungjawab terhadap tindakan mereka yang menyalahi undang-undang dan bertindak diluar bidang kuasa," kata kenyataan itu lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysiakini melaporkan, Lahirul ditahan pada jam 5 petang 10 Julai lalu di sebuah restoran pinggir bandar Kota Kinabalu kerana memakai baju BERSIH dan cuba mengedarkan 20 helai lagi kepada rakan-rakannya.
Menurut Lahirul, polis menyiasatnya mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Katanya, beliau dibawa ke balai polis Karamunsing, dekat pusat bandar Kota Kinabalu di mana beliau bermalam dan kenyataannya dirakamkan.
"Mereka (polis) sudah ambil keterangan dari saya, 18 Julai diminta untuk lapor diri ke balai dan sekarang dilepas dengan jaminan polis," kata Lahirul.
Dalam soal siasat, polis banyak mengemukakan soalan berkaitan pemakaian baju-T BERSIH.
Lahirul juga berkata, polis turut membawanya pulang dalam keadaan bergari untuk menggeledah rumahnya di Sepanggar - kira-kira 15km dari pusat bandar Kota Kinabalu - pada jam 8.30 malam.
"Dalam tangan bergari saya dibawa ke rumah untuk digeledah. Lalu polis menjumpai kotak bekas baju BERSIH yang tertera alamat rakan saya.
"Tanpa waran, polis terus pergi mengeledah rumahnya walaupun dalam rumah tersebut ada orang gaji," dakwanya yang merasa terkilan kerana digari di hadapan anak dan isterinya.
Keretanya kini masih dalam simpanan pihak polis, tambahnya.
Sebelum ini, beberapa hari menjelang Bersih, Exco Angkatan Muda KEADILAN Pusat yang juga anak jati Sabah, Dr Natassia Sarah Mohd Danny bersama beberapa pemuda Pakatan Rakyat Sabah ditangkap polis semasa menjamu selera di sebuah restoran di Kota Kinabalu Sabah.Menariknya, Natassia ketika itu hanya berbaju hitam dan alasan tangkapan itu pula kerana mereka berpakaian Bersih.
Natassia dan yang lain turut diminta melaporkan diri di sebuah balai polis di negeri itu pada 9 Julai yang disifatkan wanita ini bertujuan mensabotaj mereka dari menyertai himpunan Bersih.
Sementara itu, blogger saif al mansur melaporkan dua hari sebelum Bersih, FRU sudah berlatih di Padang Merdeka Kota Kinabalu untuk mengekang pergerakan Bersih dari diadakan di negeri itu.
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment