JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Saturday, July 9, 2011

Kreatiflah tarik minat pelajar

SEBAGAI ahli akademik, saya melihat transformasi pendidikan negara sebagai satu daripada agenda kerajaan yang baik untuk memastikan sistem pendidikan di Malaysia tidak ketinggalan zaman dan sentiasa berkembang ke arah yang lebih baik di samping melahirkan modal insan berprestasi tinggi.

Persoalannya, bagaimana untuk mengubah sikap pelajar yang menjadi satu daripada penggerak utama bidang pendidikan?

Kebiasaannya guru menggunakan pendekatan yang paling mudah untuk meminta pelajar mengubah sikap mereka iaitu dengan cara menasihati mereka.

Contohnya, guru menasihati pelajar yang tidak meminati mata pelajaran Matematik dengan memberitahu mereka mengenai kepentingan Matematik dalam kehidupan seharian.

Cara begini memang mudah dipraktikkan tetapi kurang berkesan untuk mengubah sikap pelajar.

Kajian menunjukkan pelajar hanya mengingati 20 peratus daripada apa yang mereka dengar.

Memarahi atau mengenakan hukuman ke atas pelajar juga bukan cara mengubah sikap pelajar yang baik.

Malah, merotan dengan teknik yang tidak betul boleh mendatangkan tekanan fizikal dan mental kepada pelajar.

Selain itu, terdapat juga sebilangan guru yang menunjukkan tayangan video atau melakukan demonstrasi bagaimana menggunakan bahan bantu belajar di hadapan bilik darjah yang bertujuan untuk mengubah sikap pelajar.

Contohnya, untuk memupuk sikap positif pelajar terhadap mata pelajaran Matematik, guru menayangkan video yang menerangkan sesuatu konsep Matematik ataupun guru menjalankan eksperimen Matematik di hadapan bilik darjah.

Pendekatan sebegini juga kurang sesuai untuk mengubah sikap pelajar kerana kajian menunjukkan pelajar mengingati hanya 50 peratus daripada apa yang mereka dengar dan lihat.

Cara yang paling berkesan untuk mengubah sikap pelajar ialah memberi pelajar pengalaman yang membawa perubahan kepada sikap mereka.

Contohnya, untuk mengubah pelajar menjadi seorang yang berjimat cermat ialah membawa sendiri mereka ke rumah anak yatim atau pusat jagaan orang tua untuk merasai sendiri bagaimana susahnya kehidupan golongan itu.

Begitu juga cara mengubah sikap pelajar yang mempunyai sikap negatif terhadap subjek Matematik.

Pelajar seharusnya diberi peluang untuk meneroka sendiri sesuatu konsep Matematik dan bukannya disuap dengan fakta Matematik.

Banyak strategi yang dapat menggalakkan pembabitan aktif pelajar dalam proses pembelajaran mereka.

Malah dalam era teknologi pada hari ini, banyak bahan bantu mengajar yang dapat digunakan oleh pelajar untuk membantu pembelajaran mereka.

Kajian turut menunjukkan bahawa pelajar mengingati 90 peratus daripada apa yang mereka cakap dan buat.

ABDUL HALIM ABDULLAH,
Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Bangi, Selangor.

No comments: