SAYA ingin mengulas mengenai projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat yang dikatakan akan bermula pada awal tahun depan.
Kami rakyat Perak berbesar hati kerana akhirnya pembinaan lebuh raya ini akan dimulakan setelah sekian lama tertangguh.
Adalah diharapkan pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat ini dapat memajukan kawasan di sepanjang lebuh raya ini, dari Changkat Jering, Taiping hingga ke Banting, Selangor dan melalui beberapa bandar di Perak serta Selangor.
Namun, apa yang saya ingin timbulkan adalah berhubung dengan cadangan Kerajaan Negeri Perak serta Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mahukan laluan lebuh raya berkenaan diubah supaya ia melalui Bagan Datoh, Manjung sehingga ke Changkat Jering dalam erti kata lain lebuh raya ini melalui jalan pantai.
Cadangan ini menyebabkan ia tidak melalui bandar Teluk Intan seperti dalam perancangan awal sebelumnya.
Berbanding bandar utama lain di Perak, Teluk Intan adalah satu-satunya bandar di Perak yang jauh serta tersisih daripada lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Ipoh-Lumut mahupun Lebuh Raya Utara Selatan.
Adalah diharapkan kerajaan Negeri Perak dapat menimbang semula dan mengkaji cadangan berkenaan agar limpahan kemajuan dapat dirasai semua termasuk rakyat di Teluk Intan.
KAMI SAYANG TELUK INTAN, kamisayangtelukintan@yahoo.com.
No comments:
Post a Comment