JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, September 29, 2011

'2 tahun kami tiada ketua kampung'

KOTA TINGGI: Pelantikan 11 Ketua Kampung di sekitar daerah ini yang masih tertangguh sejak dua tahun lalu, membuatkan penduduk kawasan terjejas berasa kurang selesa dan khuatir perkara itu akan dijadikan isu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Berikutan itu, kerajaan negeri digesa menyegerakan pelantikan bagi mengisi jawatan berkenaan supaya semua urusan berkaitan kemajuan, keselamatan dan kebajikan penduduk kampung dapat diambil perhatian.

Saya menerima pelantikan sebagai pemangku hanya untuk membantu pentadbiran kampung.

Berdasarkan faktor usia, saya wajar bersara tetapi tanggungjawab yang diserahkan itu adalah suatu amanah yang ditunaikan mengikut kemampuan. - Mohd Amin Jantan, Pemangku Ketua Kampung Johor Lama.

Difahamkan, kampung yang ketiadaan ketua ketika ini terdiri daripada Kampung Johor Lama, Makam, Sedili Kechil, Gembut, Air Tawar 3, Air Tawar 1, Pasak, Pengerang, Sungai Buntu, Punggai dan Kampung Baru Sungai Johor.

Berikutan ketiadaan penjawatnya, semua kampung terbabit ketika ini ditadbir Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik sebagai pemangku.

Memikul pelbagai tanggungjawab dengan elaun RM200 sebulan berbanding RM800 yang dibayar kepada ketua kampung, membuatkan ada pemangku bekerja separuh hati.

Pemangku Ketua Kampung Johor Lama, Mohd Amin Jantan, 72, berkata beliau menerima pelantikan sebagai pemangku hanya untuk membantu pentadbiran kampung.
Berdasarkan faktor usianya, beliau mengakui sudah wajar bersara tetapi tanggungjawab yang diserahkan itu adalah suatu amanah yang ditunaikan mengikut kemampuan dan pengalaman yang ada.

Beliau mengakui berikutan bidang kuasa yang terhad, ada perkara yang tidak dapat diselesaikan menyebabkan penduduk kurang yakin dengan jawatan pemangku.

“Berikutan itu, saya cadangkan pelantikan jawatan Ketua Kampung yang hakiki disegerakan. Individu yang dilantik juga perlu daripada kalangan yang muda dan mempunyai latar pendidikan yang baik,” katanya.

Setiausaha JKKK Kampung Makam, Mohamad Samin Jaji, 60, berkata dalam keadaan sekarang, cabaran penyandang ketua kampung tidak seperti dulu kerana penting bagi mereka memastikan kebajikan semua penduduk dalam kampung masing-masing terbela dan terurus dengan sempurna.

“Saya sendiri dalam tempoh tiga tahun apabila diminta memangku jawatan ini bagi mentadbir kampung dan menyelesaikan masalah penduduk.

“Saya berharap, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dapat menyelesaikan isu ini dengan segera kerana kita tak mahu mana-mana pihak memanipulasi isu ini bagi mengelirukan masyarakat," katanya.

Naib Setiausaha JKKK Kampung Felda Air Tawar 1, Razuan Ngisak, 37, mendakwa ketiadaan ketua membuatkan pentadbiran kampung turut pincang.

"Walaupun tanah rancangan FELDA mempunyai pengurus, tetapi fungsi beliau berbeza dengan ketua kampung dalam usaha dan proses memajukan tanah rancangan. Keuzuran sesetengah pemangku yang diberi tanggungjawab berikutan ketiadaan ketua kampung sewajarnya ditangani segera," katanya.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ismail Karim, berkata Pejabat Daerah sudah menjalankan tanggungjawab yang ditetapkan dengan menerima nama yang dicalonkan JKKK, mengendalikan temu duga dan menghantar nama yang dicadangkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri di Pejabat Menteri Besar.

“Untuk Kota Tinggi, kami sudah menemuduga lebih 30 orang calon yang membabitkan antara dua hingga tiga calon bagi setiap kampung. Kewibawaan dan kelayakan setiap calon dinilai sewajarnya untuk pertimbangan sebelum keputusan muktamad dibuat oleh kepemimpinan negeri,” katanya.BH.

No comments: