TAWAU: Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) Sabah, Mariam Hassan menyifatkan majikan yang mengemukakan alasan ‘tidak tahu’ sebagai satu pembohongan yang menyedihkan.
Menurutnya, alasan sedemikian tidak seharusnya timbul memandangkan Perkeso telah ditubuhkan lebih 40 tahun yang lalu di negeri ini, lebih-lebih lagi pihak majikan seharusnya sedar akan kewajipan mereka menjaga kebajikan setiap pekerjanya.
“Majikan kena datang secara sukarela (mendaftarkan pekerja). Kadang-kadang kita akan ketawa bila majikan kata ‘saya tidak tahu’. Berapa lama sudah Perkeso di Malaysia? Di Sabah saja sudah lebih 40 tahun.
“Saya rasa ini satu pembohongan yang menyedihkan. Pihak majikan mahu poket mereka berisi tetapi dalam masa yang sama kebajikan pekerja tidak dipedulikan,” katanya ketika ditemui pada 21 September lalu.
Mariam menambah, kebajikan pekerja-pekerja perlu dilindungi dengan cara mendaftarkan pekerja untuk caruman dan prosedur ini bukannya untuk menyusahkan majikan ataupun pekerja, sebaliknya proses itu adalah demi manfaat bersama.
Tambahnya, pihak majikan pula tidak seharusnya menyalahkan Perkeso jika dikenakan tindakan undang-undang kerana jabatannya sekadar menjalankan tugas untuk mengesan majikan-majikan yang masih berdegil untuk mendaftarkan pekerja-pekerja mereka.
“Kalau tidak faham, kita ada pejabat sementara di Kunak, Semporna, Sipitang, Kota Marudu, Beaufort, Kota Belud, Ranau dan Kudat serta pejabat tetap di Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Kota Kinabalu, Keningau dan Labuan,” katanya.
Beliau berkata, Perkeso Sabah juga sentiasa berusaha untuk mewar-warkan pelbagai maklumat dan perkembangan baru kepada pihak majikan dan pekerja sama ada menerusi siaran media, kursus-kursus ceramah dan sebagainya.
Mengulas lanjut, beliau berharap kesedaran di kalangan masyarakat di negeri ini khususnya di kalangan pihak majikan dan pekerja dapat dipertingkatkan lagi demi memastikan hak-hak kebajikan pekerja sentiasa dijaga.
Sementara itu, dalam majlis yang sama Perkeso Sabah menyerahkan cek kepada dua penerima faedah Hilang Upaya Kekal iaitu Arfai Jeddi, 40, dan Mazlan Usman, 26, yang terlibat dalam kemalangan semasa bekerja.
Hadir sama Pengurus Kes Perkeso Sabah, Mustafah Omar, Pemangku Pengurus Perkeso Tawau (Ketua Unit Faedah), Juani Bakidi dan Penolong Pengurus Perkeso Tawau (Ketua Unit Penguatkuasaan), Tina Hazeline Boilis.
No comments:
Post a Comment