KUANTAN: Rumah peninggalan pejuang Pahang, Mat Kilau di Kampung Batu Lima Jalan Gambang, di sini, terlalu usang dan banyak tiang serta papan dinding dimakan anai-anai.
Melihat rumah pusaka yang juga tempat persinggahan terakhir Mat Kilau atau nama sebenarnya Mohamad Rasu Abdul Salam ketika sisa-sisa hidupnya, ramai pasti tidak percaya itulah rumah pejuang terkenal.
Setiap kali mendengar ada penyanyi atau pelakon diberikan bintang kebesaran walaupun selepas meninggal dunia, sedikit sebanyak timbul juga rasa terkilan di hati warisnya kerana belum pernah ada ‘gelaran’ diberi kepada Mat Kilau walaupun jasanya tidak mungkin dapat dibalas mana-mana pihak sekalipun.
Cucunya, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 45, berkata Allahyarham datuknya hanya meninggalkan sebilah keris yang digunakan untuk menentang Inggeris, sebuah rumah dan beberapa peralatan kecil lain.
“Pengorbanan dan semangat perjuangan tulen pada diri datuk saya harus dikenang. Beliau contoh rakyat yang sayang dan cintakan bangsa, negara dan agama.
“Jika insan seperti Allahyarham serta beberapa tokoh lain tidak dihargai, kita sebenarnya tergolong dalam kategori manusia yang tidak tahu berterima kasih dan bersyukur,” katanya.
Mohd Alhamadi yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Kempadang, di sini, berkata ketokohan datuknya jelas terlihat apabila tidak pernah lokek dengan ilmu dimiliki dan sering menjadi rujukan penduduk setempat yang keliru atau tidak faham ilmu agama.
“Beliau juga guru silat dan ada ramai anak murid. Tidak kira yang kecil hingga besar. Selain itu, beliau mengajar anak kampung mengaji al-Quran.
“Semangat cintakan negara dimiliki Mat Kilau seharusnya turut ada pada setiap jasad bangsa Melayu hari ini jika tidak ingin melihat anak bangsa kita kembali dijajah.
“Semangat seperti itu perlu terus ditanam dengan subur pada jiwa bangsa Melayu bagi memastikan tanah air dicintai bebas daripada ancaman,” katanya.
Mat Kilau mempunyai 10 anak hasil tiga perkahwinan dan ramai cucu cicitnya masih ada dan menetap di beberapa kampung di Jerantut dan Kuantan.
Sepanjang enam tahun bermula 1890 hingga 1896, Mat Kilau berjuang menentang sebarang bentuk penjajahan di bumi Pahang dan selama itulah bukan sedikit darah dan keringat mengalir dari tubuh pahlawan berkenaan.
Bukan keterlaluan jika dikatakan didorong perjuangan Tok Bahaman, Tok Gajah (ayahanda Mat Kilau) dan Mat Kilau, orang Inggeris akhirnya terpaksa mengakui pendudukan mereka di bumi bertuah Pahang tidak direstui dan akhirnya mengambil keputusan untuk keluar.
Mat Kilau yang pernah menggunakan nama Mat Dadu, Mat Dahan dan Mat Siam ketika dalam pelariannya daripada dikesan askar Inggeris menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 105 tahun pada jam 6.45 pagi, 16 Ogos 1970 dan dikebumikan di Pulau Tawar, Jerantut.-HM-
Berita ini dikeluarkan Harian Metro beserta gambar dalam edisi cetak semalam, namun gambar itu tidak disiarkan dalam edisi on line.
No comments:
Post a Comment