JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, September 26, 2011

Video undilah, pro-rakyat

Penerbit video siaran pengumuman khidmat awam, 'Undilah' - Pete Teo - menyifatkan dakwaan klip video itu mempunyai mesej tersirat yang yang memihak kepada pembangkang sebagai "mengarut dan tidak masuk akal".

Pada 25 September lalu, ahli parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam tweeter menulis video yang diarahkan tidak disiarkan di stesen televisyen di seluruh negara oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, minggu lalu kerana "penuh dengan mesej separa sedar.”

"Ia mengandungi nada anti kerajaan tanpa disedari oleh penonton."

Abdul Rahman juga menulis bahawa perkara pokok yang dibincangkan boleh diterima tetapi video itu condong kepada mesej-mesej yang cuba dibawa oleh pembangkang.

Teo memberitahu bahawa dia tidak tahu bahawa Abdul Rahman, dalam laporan berita, mendakwa video itu turut memaparkan akhbar organ rasmi PAS, Harakah sehingga perkara itu dibangkitkan.

Menurutnya, pihak penerbitan telah berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan bahawa video berkenaan memaparkan kedua-dua pihak kerajaan dan pemimpin pembangkang secara adil.

Bagaimanapun, menurut Teo, jika Abdul Rahman mahu menjadikan babak yang membabitkan Harakah sebagai isu, terdapat juga babak dalam video itu di mana seorang lelaki membaca akhbar Malaysia Nanban, milik milik MIC.

Soalnya, dengan babak sedemikian, adakah ini bermakna video berkenaan juga mempunyai mesej pro-BN.

"Betapa mengarut dan tidak masuk akal perkara ini? Jadi adakah ini bermakna kita menyokong MIC?

"Babak membabitkan Nanban jauh lebih lama daripada babak Harakah," katanya.

Teo berkata terdapat juga beberapa adegan di mana Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong berdiri di hadapan patung Tunku Abdul Rahman.

"Jadi adakah ini bermakna kita pro-BN? Sudah tentu, kita tidak, kita adalah pro-rakyat," katanya.

Ulanginya, video siaran pengumuman khidmat awam itu diterbitkan tanpa memihak dan pasukan penerbitannya tidak mempunyai niat menjadikan ia kontroversi.

"Kami merakamkan banyak adegan di jalanan (untuk video itu). Kebetulan ada seorang yang membaca Harakah dan seorang lagi pula yang membaca Nanban.

"Jika anda ingin menjadikan (isu), apa-apa perkara sekalipun boleh dijadikan,” katanya.

Jumaat lalu, dalam satu kenyataannya, SKMM berkata arahan penarikan video 'Undilah' adalah kerana ia masih belum mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem untuk disiarkan di televisyen.

No comments: