JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Sunday, September 4, 2011

Terus perjuang martabat bahasa - Abim

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ingin mengucapkan takziah di atas kembalinya ke rahmatullah, Datuk Dr Hassan Ahmad, pada 2 Syawal lalu.

“Sesungguhnya ia adalah kehilangan yang amat besar buat seluruh warga Malaysia terutama sekali di kalangan komuniti pejuang bahasa di negara ini," kata setiausaha agungnya, Mohamad Raimi Ab Rahim.

Dalam hal ini, katanya Abim amat berbesar hati kerana berpeluang berkongsi aspirasi ilmu, serta pengalaman beliau sepanjang hayatnya.

“Mengambil kesempatan ini, Abim ingin merakamkan penghargaan beliau di atas segala sumbangan terutama sekali dalam memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu serta kebudayaan bangsa di tempat yang tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata, selain peranannya selaku bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Datuk Dr Hassan Ahmad turut memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan PPSMI dimansuhkan pada tahun 2009.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Segala sumbangan serta amal bakti beliau menjadi dorongan serta inspirasi buat golongan muda untuk meneruskan perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu di tempat yang selayaknya di negara ini,” katanya.

No comments: