JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, September 26, 2011

Belanjawan lebih tepat daripada bajet

PERSATUAN Linguistik Malaysia (PLM) berharap istilah belanjawan kembali digunakan pada pembentangan rancangan pendapatan dan perbelanjaan tahunan negara bulan depan.

PLM berharap istilah yang benar dan betul itu digunakan menggantikan perkataan bajet yang tidak betul daripada segi tatacara pembentukan istilah bahasa Melayu.

Malah sejak lama dulu istilah belanjawan wujud dalam Kamus Dewan dan Daftar Istilah Industri Perkhidmatan Kewangan terbitan Dewan Bahasa dan pustaka (DBP).

Istilah belanjawan luas cakupan maknanya dan tidak sempit seperti difahami sesetengah pihak.

Penggunaan perkataan bajet ini samalah seperti isu penggunaan perkataan infotainmen dan kecapaian sebelum ini yang sudah disedari akan kesilapannya dan dibetulkan.

PLM percaya penggunaan istilah yang betul oleh Kementerian Kewangan dan pemimpin akan lebih dihormati oleh orang ramai dan menjadi teladan kepada semua pihak.

Akhirnya moga-moga nama Puduraya dikenali pelancong seluruh dunia kembali digunakan kerana tiada bezanya Pudu Sentral itu kecuali ejaan dan baunya.

Sementara itu, PLM mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas ketegasan beliau menolak cadangan pihak tertentu mengembalikan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) ketika pertemuan dengan kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Peringatan beliau mengenai sejarah UKM sebagai universiti pelopor menggunakan bahasa Melayu perlu terus memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu termasuk sains dan teknologi amat tepat dan tidak patut dilupakan serta perlu diberi perhatian oleh pengurusan dan kepemimpinan tertinggi UKM agar tidak sekali-kali tergelincir daripada landasan asal sejak penubuhannya.

Kepemimpinan universiti boleh berubah tetapi dasar yang baik perlu diteruskan.

Walaupun UKM dikatakan sebagai pelopor bahasa Melayu tetapi fakta ini tidaklah pula menafikan bahawa 19 universiti tempatan yang lain juga perlu bersama-sama berperanan memperluas penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi khususnya dan tidaklah mengharapkan UKM bersendirian.

Bahasa Melayu hanya benar-benar bermartabat dan dihormati apabila digunakan untuk menyebarkan ilmu dan diberi nilai ekonomi oleh bangsa dan negaranya terlebih dulu.

Bagaimanakah orang lain hendak menghormati dan menggunakan bahasa Melayu jika kita sendiri meminggirkan peranan bahasa itu?

KAMAL SHUKRI BIN ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.

No comments: