JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, January 4, 2010

GULA : KENYATAAN NAJIB RAZAK HARI INI


PEKAN 3 Jan. - Meskipun kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram baru-baru ini, ia masih terendah berbanding negara-negara ASEAN lain.

Berbanding gula di Malaysia yang kini berharga RM1.65 sekilogram, bahan itu dijual dengan harga RM2.25 sekilogram di Thailand dan Indonesia.

Sehubungan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, adalah tidak wajar peniaga di negara ini mengambil kesempatan untuk menaikkan harga makanan dan minuman selepas kenaikan harga gula di pasaran.

Ini kerana, tegasnya, perbezaan harga antara bahan itu yang dijual di Malaysia dan negara-negara lain di ASEAN adalah besar.

''Ada perbezaan kira-kira 60 sen sekilogram berbanding gula yang dijual di Thailand dan Indonesia.

''Jika harga gula naik 20 sen, tidak sepatutnya harga makanan dan minuman seperti teh tarik dinaikkan. Kita kena lihat kandungan gula yang digunakan dalam makanan atau minuman itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 321 murid pada majlis anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan baru-baru ini yang menaikkan harga gula sebanyak 20 sen iaitu daripada RM1.45 kepada RM1.65 sekilogram.

Keputusan kerajaan itu menyebabkan ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman mereka.

Najib menegaskan, keputusan yang dibuat kerajaan itu adalah demi menjaga tahap kesihatan rakyat selepas Malaysia diletakkan sebagai salah sebuah negara yang tertinggi mempunyai penghidap kencing manis di dunia.

Beliau yakin penggunaan gula dalam makanan dan minuman boleh diubah apabila harga bahan itu dinaikkan.

''Apa yang patut kita lakukan adalah mengubah cita rasa supaya kurang makan gula. Saya sendiri kalau minum teh, saya tidak pakai gula lagi, dulu saya pakai gula, sekarang tidak lagi.

''Maknanya kita boleh mengubah cita rasa supaya tidak perlu makan gula terlalu banyak," jelasnya.

Perdana Menteri menegaskan, kenaikan harga gula dianggap wajar kerana kerajaan selama ini mengeluarkan subsidi yang besar terhadap komoditi itu.

''Pada saya, tidak ada logiknya kerajaan mengeluarkan subsidi hampir 1 bilion setahun untuk satu bahan makanan yang boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kerajaan akan terus memantau kenaikan harga barang dari semasa ke semasa berikutan kenaikan harga gula baru-baru ini.

No comments: