JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Sunday, January 31, 2010

Macam zon perang


MUKAH: Macam zon perang. Keadaan jalan raya ibarat lokasi sasaran pengguguran bom atau peluru meriam.

Itu kata seorang rakan ketika menceritakan pengalaman mengharungi perjalanan penuh cabaran apabila melalui Jalan Selangau-Mukah, baru-baru ini.
Bagi beliau, jalan sepanjang 54.6 kilometer itu, tidak sewajarnya disebut sebagai jalan awam sebaliknya boleh dikategorikan sebagai laluan bagi cabaran pacuan empat roda atau apa juga pertandingan kenderaan lasak yang lain.

Laluannya berlopak, becak dan sempit, sekali gus membahayakan kenderaan kecil.

"Jika bukan pacuan empat roda, usah berangan membawa kereta itu ke kampung untuk ditayangkan pada saudara mara, kerana dikhuatiri apabila sampai ke destinasi, rupa kereta itu dah jadi lain.
"Saya rasa menyesal memandu di jalan itu. Dahlah terpaksa mengharungi perjalanan yang panjang, kereta pula rosak dibuatnya," katanya yang enggan namanya disiarkan.

Rungutan seperti itu bukan baru, kerana setiap pemandu yang pernah melalui Jalan Selangau-Mukah, pasti akan menceritakan pengalaman yang sama.

Walaupun merungut, pemandu faham kesukaran yang mereka hadapi itu akibat kerja pembinaan yang akan memberi keselesaan pemanduan pada masa depan.

Mengikut perancangan, projek yang bermula sejak beberapa tahun lalu itu dijangka selesai sepenuhnya pertengahan tahun ini.
Namun, dilihat keadaan jalan serta perkembangan projek itu yang agak lembap, ramai yang meragui kemampuan pemaju melaksanakan projek itu mengikut tempoh yang ditetapkan.

Pengguna jalan berkenaan, Martin Lam, 48, dari Dalat, berkata dalam tempoh kurang enam bulan dari sekarang, mungkin sukar bagi pemaju menyiapkan projek itu tepat pada masanya.

"Mustahil dapat disiapkan dalam tempoh itu, kerana jika dilihat keadaan jalan itu sekarang, masa lebih lama mungkin diperlukan.

"Tetapi pemaju mungkin tahu apa yang mereka boleh buat dan saya berharap mereka melakukan yang terbaik untuk memastikan pengguna jalan raya menikmati pemanduan yang lancar dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Beliau yang sering berulang alik dari Mukah ke Sibu, sudah lali dengan keadaan jalan itu, sama ada sebelum atau selepas projek dilaksanakan.

"Jika kemahiran saya melalui jalan seperti ini diiktiraf, mungkin kini saya sudah boleh menjadi pemandu pada cabaran Camel Trophy. Sudah bertahun-tahun saya melalui jalan ini, keadaannya memang teruk sejak dulu," katanya.

Jalan Mukah-Selangau dibina pada 1970 yang ketika itu tidak berturap kerana ia hanya digunakan untuk mengangkut kelapa sawit.

Jalan selebar enam meter dengan bahu jalan sempit itu menjadi laluan utama kenderaan dari laluan utama Sibu-Bintulu untuk ke Mukah serta beberapa daerah dalam bahagian itu antaranya Dalat, Oya, Igan, Matu dan Daro.

Keadaan jalan berkenaan bertambah teruk selepas 2005, apabila ia tidak dapat menampung kenderaan berat yang mengangkut hasil arang batu dan kelapa sawit dari kawasan berhampiran di samping faktor cuaca yang tidak menentu.

Oleh Mohd Roji Abdullah

No comments: