TIDAK SAMPAI sebulan kita melangkah masuk ke tahun 2010 sudah ada bermacam-macam spekulasi mengenai satu lagi pilihan raya kecil bakal muncul di Parlimen Hulu Selangor.
Selepas mengharungi lapan pilihan raya kecil, semua parti politik kini sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan di Hulu Selangor.
Cerita mengenai Hulu Selangor ini sudah lama muncul tetapi taklah sepanas seperti sekarang. Pakatan Rakyat sudah awal-awal lagi membuat persiapan walaupun mereka menegaskan Ahli Parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad tidak akan melepaskan kedudukannya sebagai wakil rakyat ekoran masalah kesihatan yang sedang beliau hadapi sekarang.
Di sebalik penafian tersebut, seluruh jentera Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengadakan perjumpaan bersama penduduk setempat pada majlis makan malam yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Chuah yang terletak di Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
Kata orang, Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang? Seperti biasa mereka menyerang Barisan Nasional (BN).
BN pula dilihat tidak mahu terperangkap dengan permainan politik Pakatan Rakyat. BN dikatakan sudah mula pandai membaca permainan politik Pakatan Rakyat khususnya di Selangor ketika ini yang penuh dengan pelbagai kontroversi dari semasa ke semasa.
Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merasmikan program "JUARA RAKYAT" di parlimen Hulu Selangor baru-baru ini telah merancakkan lagi fenomena politik di Hulu Selangor.
Pendekatan program UMNO Juara Rakyat yang melambangkan visi Satu BN, Satu UMNO dan Satu Malaysia - di lihat dapat merakyatkan UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional. Seluruh jentera UMNO dan BN berkampung di Hulu Selangor selama dua hari bersempena dengan majlis pelancaran program tersebut.
Amanat Perdana Menteri jelas sekali memberikan mesej yang cukup terang bahawa Barisan Nasional sudahpun bersedia untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat sekiranya berlaku sebarang kemungkinan dalam masa terdekat ini.
Malah kiriman sms pula semakin kencang berterbangan dari seluruh negara menuju ke Hulu Selangor ketika ini. Hulu Selangor merupakan satu daerah yang popular di Selangor yang menempatkan bandar Kuala Kubu Baru, Batang Kali, Rasa, Serendah, Bandar Sungai Buaya, Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Bukit Tagar dan Sungai Tengi.
Malah bahang pilihan raya dikatakan semakin memuncak di Hulu Selangor sehingga seluruh jentera mahupun dari BN dan Patakan Rakyat kini sudah mula menjadikan daerah Hulu Selangor sebagai "pits stop" masing - masing.
Pada pilihan raya umum 2008, calon Barisan Nasional Datuk G.Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC tewas dengan majoriti tipis iaitu 198 undi. Walaupun gagal mempertahankan kawasan parlimen, BN berjaya menawan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri yang terletak di dalam parlimen Hulu Selangor iaitu Hulu Bernam - UMNO (majoriti 3,549 undi), Kuala Kubu Bharu- MCA(majoriti 448 undi) dan Batang Kali - UMNO (majoriti 2,179 undi).
Palanivel mendapat 22,979 undi manakala Zainal Abidin Ahmad pula mendapat 23,177 undi.
Palanivel yang berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden MIC pada pemilihan parti September lepas merupakan Ahli Parlimem Hulu Selangor sejak 1990 hinggalah beliau tewas pada 2008.
Sementara itu peratusan pengundi di Parlimen Hulu Selangor menyaksikan Melayu dengan 53.94%, Cina 26.67%, India 18.98% dan lain-lain 0.41%.
Dan nampaknya daripada risik-risik yang dilakukan penulis, Palanivel yang juga bekas Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat dikatakan sudah mendapat "lampu hijau" untuk turun padang bagi memperkuatkan lagi jentera BN di Hulu Selangor.
Difahamkan, BN Hulu Selangor juga telah mengadakan mesyuaratnya pada malam hari krismas lalu untuk memperkukuhkan lagi jentera BN.
Sebagai Pengerusi MIC Negeri Selangor dan Penyelaras Parlimen Hulu Selangor Palanivel dilihat banyak kali turun ke kawasannya bertemu dengan rakyat walaupun beliau bukan lagi wakil rakyat mereka.
Lebih dikenali sebagai "GP" dalam kancah politik MIC, beliau merupakan seorang pemimpin politik yang kurang bercakap tetapi lebih gemar menggunakan pendekatan "turpa" (turun padang) untuk bertemu dengan ahli-ahli parti mahupun masyarakat.
Kekalahan Palanivel di Hulu Selangor bukan sahaja memberikan tamparan hebat kepada MIC tetapi hampir-hampir melenyapkan karier politiknya dalam MIC. Namun selepas berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden MIC tahun lepas nama Palanivel kembali "menyerlah" dalam arena politik negara.
Begitulah sepak terajang dalam politik - sukar diramalkan. "Tanya rakyat Hulu Selangor, bila kali terakhir mereka nampak Ahli Parlimen mereka sekarang (Dr.Zainal)? Sudah pasti jawapannya sudah tidak kelihatan sebab semua tahu beliau sakit dan tidak dapat meneruskan khidmat seperti yang diharapkan," kata Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor, V.Mugilan.
Berdasarkan keputusan pliihanraya lepas, Hulu Selangor boleh dikatakan kubu kuat BN kerana berjaya menguasai tiga kerusi DUN manakala kekalahan Palanivel dengan majoriti yang tipis tidak mengambarkan kekuatan sebenar pembangkang khususnya calon PKR.
Cuma pada PRU yang ke 12, pengundi India menentang MIC dan calonnya kerana gerakan yang berpunca dari pertubuhan Hindraf. Namun dalam tempoh dua tahun ini masyarakat India sudah muak dengan situasi politik di negeri Selangor serta perkembangan yang melibatkan bekas pemimpin-pemimpin Hindraf yang kini bertindak saling tuduh-menuduh dan tuding-menuding antara satu sama lain gara-gara "akaun hindraf" di khalayak ramai.
Nampak sangat masing-masing mempunyai kepentingan diri sendiri. Masyarakat India dikatakan sudah mula mempersoalkan gerak geri dan tingkah laku mereka. Sekiranya berlaku kekosongan di Hulu Selangor nanti, sudah pasti MIC akan berpeluang bertanding di sana. Selepas kecundang di Bukit Selambau pada tahun lepas, MIC berpeluang untuk menebus semula maruahnya.
Inilah peluang yang cukup terbaik untuk MIC menunjukkan kemampuannya sekaligus menetapkan sasaran KPI sekiranya berlaku pilihanraya kecil nanti. MIC dan juga BN perlu keluar dari sindrom penafian kalau nak bangkit untuk menang.
Tinggalkanlah gelagat politik retorik dan syok sendiri.
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment