JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Saturday, January 16, 2010

PILIHAN RAYA DI SEKOLAH

Di dalam kehangatan mahasiswa di beberapa Institusi Pengajian Tinggi melaungkan suara menegakkan nilai demokrasi kampus, sebuah sekolah di Kuala Lumpur pula meningkatkan usaha menerapkan nilai-nilai demokrasi Malaysia kepada para pelajarnya. Pendekatan yang menarik dan kritis yang telah dilakukan oleh SK Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur itu adalah dengan mengadakan pilihan raya bagi memilih Ketua Pelajar bagi tahun 2010. Walaupun pilihan raya sebegini pertama kali diadakan di Malaysia, namun ia dapat dijalankan dengan jayanya.

PEMIMPIN CILIK

Seperti sedia maklum, fokus utama sesebuah pilihan raya yang dijalankan tidak lain adalah untuk memilih pemimpin yang dipercayai mampu membawa kemajuan, kebaikan dan kesejahteraan di dalam sesebuah kelompok masyarakat. Sistem demokrasi di Malaysia sebenarnya mampu melahirkan pemimpin yang berintegriti seperti yang dimahukan dan diperlukan rakyat jika landasan pemilihan adalah benar dan telus. Atas dasar inilah, saya amat yakin pihak SK Tun Dr Ismail 1, mengambil jalan memberi pendedahan awal kepada para pelajarnya tentang maksud dan tujuan sesebuah pilihanraya diadakan termasuklah memahami antara 3 komponen penting di dalam sesebuah pilihanraya iaitu calon yang bertanding, para pengundi dan sistem pilihanraya itu sendiri.
Pelajar yang menjadi calon pilihanraya tersebut pastinya memperoleh pengalaman yang luar biasa yang pastinya tidak dirasai oleh semua orang. Peluang yang ada jika digarap dengan baik pastinya mampu membina nilai-nilai dan personality seorang pemimpin di dalam diri mereka. Bayangkan, calon-calon Tahun 5 dan 6 yang bertanding, diberi kesempatan berkempen dari kelas ke kelas, memiliki penyokong ( crowd ) tersendiri juga menampilkan kelebihan mereka masing-masing di hadapan pelajar lain. Bukankah ia merupakan satu bentuk persaingan sihat yang membawa kepada anjakan paradigma mereka selaku pelajar senior di sekolah?

TEORI ERIK ERIKSON

Menurut Erik Erikson dalam bukunya “Childhood and Society” tahun 1963, perkembangan psikososial terbahagi kepada 8 bahagian. Untuk kanak-kanak di umur sekolah rendah ( school age ), mereka akan mengalami fenomena industri lawan rasa rendah diri ( industry vs inferiority ). Pada peringkat ini, mereka perlu diberi peluang menguasai beberapa kemahiran dan jika gagal, ianya akan memberi impak rasa rendah diri dan tidak memiliki keupayaan bukan sahaja dalam meningkatkan potensi akademik, bahkan di dalam kehidupan sosial mereka. Justeru, saya amat percaya, dengan bimbingan dan pantauan yang konsisten daripada pihak sekolah, pilihan raya sebegini pastinya mampu melahirkan pelajar yang berjiwa kepimpinan, menghormati keadilan dan kemanusiaan juga pelajar yang sedar akan tanggungjawab mereka sebagai ‘rakyat’ di sekolah.


MENCIPTA PERUBAHAN

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya menyarankan kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia agar menyambut baik usaha sebegini. Jika pilihanraya sebegini dijadikan kokurikulum wajib di sekolah-sekolah, saya yakin ia mampu menjadi pendukung kuat kepada subjek baru berunsurkan semangat kenegaraan yang akan diperkenalkan bersama Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ) pada tahun hadapan. Sekalung tahniah buat guru besar SK Tun Dr Ismail 1 Pn Hjh Nik Nab Bt Sulaiman, para guru, kakitangan sekolah, pegawai SPR, Adik Khairul Azil ( menang 365 undi ), calon-calon yang bertanding, dan seluruh pelajar sekolah atas keberanian mencetuskan perubahan baru dalam dunia pendidikan. Apa yang diharapkan, semoga usaha sebegini tidak terhenti setakat di sini, bahkan akan menjadi titik mula kepada perubahan yang lebih baik dalam negara.

di tulis oleh Siti Nadzirah Majeed/Marsis

1 comment:

pERjaLAnaN hiDuP~ said...

saya stuju dgn mmbuat pilihanraya bagi melantik pemimpin pelajar di sekolah..akan tetapi,sesetengah piahk ada mengatakan bahawa pelajar sekolah masih terlalu awal utk melibatkan diri dgn pilihanraya,ditakuti mereka akan berpuak2..apa rasionalnya??dah tu bila mereka bru boleh utk brfikir sndiri,membuat keputusan ttg apa yg trbaik utk mereka?