JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, January 20, 2010

Konsep Bandar Masdar di Malaysia


Mohd. Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum pada pertemuan mereka di Abu Dhabi, semalam. - bernama

ABU DHABI 19 Jan. – Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) akan berkongsi kepakaran dalam pembangunan teknologi hijau dengan merancang membina sebuah ‘bandar bebas karbon’ di Malaysia tidak lama lagi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kerjasama itu akan membabitkan pelaburan awal bernilai RM340 juta bagi membangunkan sebuah bandar hijau seperti bandar Masdar di sini yang dikenali sebagai ‘bandar bebas karbon.’

Perjanjian kerjasama tersebut membabitkan 1Malaysia Development Berhad (IMDB) dengan Masdar, anak syarikat Mubadala Development Company yang juga merupakan syarikat penyelidikan dan pembangunan tenaga masa depan.

“Saya merasakan mereka menunjukkan hasrat yang begitu tinggi apabila menandatangani perjanjian kerjasama untuk melaksanakan kaedah dan konsep bandar Masdar tetapi dalam skala lebih sederhana di Malaysia,” katanya.

Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia di sini hari ini pada hari terakhir lawatan rasmi selama empat hari ke UAE, termasuk menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Tenaga Masa Depan Sedunia, semalam.

Perdana Menteri berkata, kerjasama Masdar dengan IMDB akan menggunakan teknologi hijau terkini dan juga mengambil manfaat daripada pelaburan dan kepakaran syarikat UAE itu dalam teknologi hijau.

“Kita tidak perlu melabur dalam bidang ini tetapi gunakan kepakaran mereka untuk sama-sama membangunkan bandar hijau seperti Masdar di Malaysia,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, mereka belum mengenalpasti lokasi bandar yang akan dimajukan kerana ia bergantung kepada perbincangan antara kedua-dua syarikat.

“Ia diharap dapat diputuskan sebelum kunjungan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan ke Malaysia nanti supaya baginda dapat menyaksikannya,” katanya.

Perjanjian kerjasama antara IMDB dan Masdar itu telah ditandatangani dua hari lepas untuk terlibat dalam projek-projek teknologi hijau dan mengurangkan pencemaran.

Pada majlis itu, IMDB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrol Halmi dan Masdar diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Sultan Ahmed Al Jaber.

Dalam pada itu, Shahrol berkata, teknologi hijau merupakan sektor yang semakin penting dalam pembangunan ekonomi di masa depan dan kerjasama dengan Masdar akan mendedahkan Malaysia dan IMDB kepada pembangunan teknologi mampan bertaraf dunia.

“Adalah hasrat kami untuk mengkaji dan menilai peluang-peluang perniagaan berkaitan teknologi hijau termasuk pembangunan bandar raya bebas karbon yang mesra alam di Malaysia,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Dr. Sultan pula berkata, Masdar komited dalam membina pakatan strategik dan membina rangkaian di seluruh dunia untuk mempopularkan teknologi hijau dan kuasa yang mesra alam untuk kehidupan masyarakat lebih mampan.

No comments: