JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Sunday, January 31, 2010

kenapa Doktor Enggan bertugas ke Luar Bandar

AGIHAN penempatan doktor yang tidak betul adalah antara punca Malaysia berdepan masalah kekurangan doktor di hospital kerajaan, selain doktor yang ditempatkan di luar bandar 'dilupakan' kementerian sehingga bertahun-tahun terpaksa berkhidmat di luar bandar, sekali gus peluang kenaikan gred mereka turut dilupakan.

Inilah antara faktor yang dikenal pasti Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr David Quek berhubung kelemahan yang ada sekali gus melebarkan lagi jurang jumlah doktor yang kini banyak bertumpu di kawasan bandar dan pinggir bandar. Keadaan ini semakin 'parah' di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

"Kebanyakan doktor tidak mahu bertugas di pedalaman kerana bimbang kementerian 'terlupakan' mereka menyebabkan mereka kekal bertugas di situ bertahun-tahun," katanya.

Senario 'dilupakan' ini sekali gus akan menjejaskan peluang mereka dinaikkan gred. Selain itu, faktor kedudukan kawasan pedalaman yang terlalu terpencil juga menyebabkan ada sebilangan doktor tidak mahu berkhidmat di sana.

Namun, kata David, secara umumnya, masalah kekurangan doktor di Malaysia tidak begitu serius. Walaupun tidak dinafikan nisbah antara doktor dan pesakit di Malaysia kini 1:900, tetapi di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan bandar kecil seperti Taiping tidaklah begitu membimbangkan.

"Di bandar seperti Kuala Lumpur dan bandar kecil seperti Taiping, nisbahnya 1:200, sedangkan tahap standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah 1:600. Di bandar besar ada kalanya doktor berkongsi pesakit," katanya.

David berkata, gaji bukan isu utama kenapa doktor tidak mahu berkhidmat di hospital kerajaan. Ini kerana seorang doktor baru boleh memperoleh pendapatan RM3,600 sebulan apabila gaji pokok dicampur elaun dan kerja lebih masa. Selain itu, doktor yang bertugas di pedalaman, mereka diberi elaun khas antara RM500 ke RM1,500 bergantung pada kedudukan lokasi mereka bertugas.

David mengakui hakikat kebanyakan doktor memang memiliki persepsi untuk berpindah ke sektor swasta. Walaupun gaji sudah dinaikkan, waktu perkhidmatan yang panjang dan ada kala pembabitan dalam kerja pentadbiran menyebabkan mereka mahu berhijrah.

Katanya, tempoh bekerja yang panjang itu normal bagi seseorang doktor, namun ia tidak seharusnya melebihi 12 jam. Di sinilah, timbang rasa dan kerjasama daripada ketua jabatan memainkan peranan.

"Jika seorang doktor itu perlu bertugas hingga jam 3 atau 4 pagi, dia mungkin boleh diberi kelonggaran untuk masuk lewat atau pulang cepat pada hari berikutnya berdasarkan timbang rasa ketua," katanya.

Hakikatnya, berkhidmat di hospital swasta bukan semudah disangka. Walaupun hospital swasta menjanjikan pendapatan lumayan berbanding hospital kerajaan, tetapi persaingan ketika berkhidmat di hospital swasta lebih sengit.

Pada tahun ini, seramai 30,000 doktor berdaftar dengan MMA. Seramai 25,000 daripada mereka adalah doktor, manakala 5,000 doktor latihan siswazah (housemanship). Daripada jumlah yang berdaftar itu, 9,000 adalah doktor yang berkhidmat di hospital swasta.

Kata David, langkah yang sudah diambil Kementerian Kesihatan untuk menambah bilangan doktor di Malaysia sebenarnya sudah memadai. Ini kerana, saban tahun MMA merekodkan 3,000 doktor latihan siswazah lulusan universiti tempatan dan luar negara masuk berkhidmat di hospital kerajaan.

Apa yang dibimbangkan ialah langkah membenarkan pusat pengajian swasta menawarkan program perubatan, sedangkan kualiti program itu tidak diberikan perhatian. Ini kerana jika tidak dikendalikan dengan bijak, menjelang 2015, Malaysia mempunyai antara 40,000 ke 50,000 doktor, jumlah yang ramai tetapi belum tentu mempunyai kualiti yang diharapkan.

"Negara seperti Britain mengeluarkan lulusan perubatan seramai 1,100 setahun. Yang membimbangkan, ada universiti swasta di Malaysia menerima lebih 200 pelajar perubatan setiap kali sesi kemasukan baru," katanya.

Katanya, keadaan ini mengundang persoalan dari sudut kualiti kerana universiti awam yang terkemuka seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) atau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hanya mengambil sekitar 100 ke 200 pelajar perubatan saja setiap tahun.

"Menjadi doktor pakar bukan mudah. Untuk menjadi pakar bedah saraf, misalnya mengambil masa antara tujuh ke lapan tahun, pakar jantung pula empat tahun, manakala pakar bedah plastik enam tahun. Kita bimbang tenaga pengajar di universiti swasta tidak memenuhi kualiti sebagai pensyarah perubatan yang sepatutnya," katanya.

No comments: