JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Sunday, January 31, 2010

Menuntut Janji 8 Mac 2008


MINGGU lalu beberapa pegawai kanan dari Putrajaya turun padang dengan merasai sendiri pengalaman mengharungi jalan raya tidak berturap di sebuah daerah di utara Sarawak. Mereka menaiki beberapa kenderaan pacuan empat roda (4x4) dan sekali-sekala di beberapa tempat, terpaksa berjalan kaki meninjau dengan lebih dekat keadaan jalan raya terbabit.

Jalan raya tidak berturap, malah lebih layak dikategorikan sebagai jalan balak, bukan sesuatu yang asing di negeri ini. Di Miri, seorang wakil rakyat merungut kerana dua gelanggang yang baru siap, tidak menepati spesifikasi dan piawaian yang sepatutnya. Keadaan gelanggang yang dibina oleh kontraktor berkenaan mengecewakan wakil rakyat itu.
Sementara itu, ketika balik ke kampung dua minggu lalu, penduduk kampung penulis merungut kerana anak mereka terpaksa bersekolah di sekolah rendah yang terletak jauh dari kampung. Sekolah Rendah Kampung Tellian yang mengeluarkan ramai pelajar sejak awal 1960-an tidak lagi digunakan sejak 2003.

Penduduk kampung menunggu agar janji yang ditaburkan dalam setiap pilihan raya akan dikotakan. Namun, bayangan untuk melihat berdirinya sekolah berkenaan dalam setahun dua ini belum muncul. Kini, penduduk kampung yang rata-rata miskin dan bergantung pada pokok rumbia untuk hidup, terpaksa membelanjakan banyak wang untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang letaknya sekitar tiga kilometer dari kampung itu.

Sekolah itu terpaksa ditutup kerana dianggap tidak lagi selamat. Persoalannya, bagaimanakah pihak berwajib tidak menyedari keadaan berkenaan dan seterusnya membuat perancangan sewajarnya bagi membina sekolah baru yang lebih baik untuk menampung keperluan kanak-kanak di kampung sebaik saja menyedari bahawa keadaan sekolah itu tidak lagi sesuai digunakan?
Akibat kesilapan itu, penduduk kampung menanggung beban. Mereka bukan saja terpaksa berbelanja lebih besar untuk menyekolahkan anak-anak, tetapi sering risau dengan keselamatan mereka. Bayangkan jumlah wang yang perlu disediakan untuk membayar kos pengangkutan jika ibu bapa terbabit mempunyai tiga orang anak?

Sejak beberapa bulan lalu, berbeza daripada sebelumnya, Sarawak menerima banyak tetamu, termasuk menteri dan pegawai kanan dari Putrajaya. Hampir tidak ada hari atau minggu, Sarawak tidak menerima tetamu berkenaan. Langkah ini baik untuk memastikan Putrajaya benar-benar faham akan keperluan dan aspirasi penduduk. Jangan hanya merancang dari Putrajaya tanpa turun padang.

Keputusan pilihan raya 8 Mac 2008 menyebabkan mereka perlu lebih prihatin terhadap negeri ini, apatah lagi Sarawak dan Sabah dianggap sebagai 'simpanan tetap' bagi Barisan Nasional (BN). Justeru, simpanan tetap perlu dijaga, apatah lagi Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen, dengan hanya satu jatuh ke tangan DAP dalam pilihan raya umum lalu.

Justeru, memang dapat dimengerti mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak begitu prihatin terhadap pembangunan, terutama di luar bandar Sabah dan Sarawak. Sebahagian besar kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri terbabit terletak di luar bandar. Sudah sewajarnya kebajikan mereka di luar bandar diberi perhatian saksama.
Tentu tidak adil untuk mengabaikan nasib mereka yang sejak 40 tahun lalu memberi undi kepada BN. Mereka sudah lama bersabar, dan inilah masa sesuai untuk membalas budi mereka, dan bukannya menyeru supaya mereka bersabar dan bersyukur seperti yang sering diminta oleh ahli politik di negeri ini.

Isu mengenai tiadanya pembangunan di luar bandar sering dieksploitasikan pembangkang menjelang setiap pilihan raya di negeri ini. Mereka menyerang kerajaan dengan wacana tandingan yang meyakinkan. Pembangkang menyoal, ke mana perginya pendapatan besar negeri daripada sumber semula jadi, termasuk balak?

Kawasan balak sudah hampir tiada lagi di negeri ini kerana dikaut oleh mereka yang berkepentingan. Mereka juga berhujah bahawa kerajaan BN gagal membawa pembangunan ke Sarawak meskipun sudah merdeka menerusi Malaysia selama lebih 40 tahun. Ada pengundi yang termakan oleh hujah pembangkang.

Bagi kerajaan pula, mereka sering bersikap defensif dengan menyatakan bahawa pembangkang hanya bijak bercakap, tetapi tidak akan mampu membawa pembangunan. Dalam keadaan pengundi yang lebih pintar sekarang, hujah sedemikian sukar ditelan bulat-bulat.

Penduduk dan pengundi luar bandar tidak meminta sesuatu yang canggih dan hebat. Mereka sekadar memohon agar keperluan dan kemudahan asas dibina, termasuk jalan kampung yang berturap, klinik, bekalan air dan elektrik, sekolah rendah dan seumpamanya. Bagi penduduk kampung, keperluan asas itu amat penting bagi memudahkan mereka bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain, termasuk menghantar produk pertanian ke pekan dan bandar berdekatan.

Salahkah mereka jika mereka menuntut janji ahli politik yang ditaburkan setiap kali pilihan raya menjelma? Adakah satu dosa bagi penduduk miskin untuk mengharapkan kepada kerajaan yang dipilih mereka supaya membina kemudahan dan prasarana asas itu? Sebahagian daripada janji kerajaan memang sudah pun ditunaikan, tetapi sebahagian lagi gagal dilaksanakan meskipun Sarawak dikenali sebagai negeri yang kaya sumber semula jadi.

Dalam hubungan ini, tentu sesuatu yang amat melegakan apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengadakan lawatan ke Miri minggu lalu berikrar bahawa Kerajaan Pusat akan berusaha untuk menyelesaikan semua masalah berkaitan kemudahan asas di Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ini satu komitmen luar biasa yang diberi oleh pemimpin negara kerana menyedari bahawa kedua-dua negeri itu tertinggal di belakang dari segi pembangunan. Sekitar 2.4 juta penduduk Sarawak bertaburan di negeri yang mempunyai keluasan geografi sebesar Semenanjung Malaysia. Bayangkan saja, ada sekitar 5,000 rumah panjang yang terletak di luar bandar dan pedalaman, termasuk di hulu Sungai Rajang, sungai terpanjang di negara ini dan kawasan berbukit-bukau di Baram dan Marudi?

Untuk membina jalan raya berharga beratus-ratus juta ringgit bagi keperluan 1,000 penduduk tentu tidak munasabah dan tidak berdaya maju. Kemudahan asas yang cuba diselesaikan oleh beliau ialah bekalan elektrik, air dan jalan raya.

Pembangunan yang seimbang antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak amat penting dilaksanakan sesuai dengan gagasan 1Malaysia. Keseimbangan pembangunan juga penting antara bandar dan luar bandar di negeri ini. Jangan sampai penduduk di Sabah dan Sarawak berasa iri hati terhadap pembangunan dan kemajuan yang dilihat mereka berlaku di Semenanjung. Juga, jangan sampai pengundi di luar bandar meluat dengan janji kerajaan dan kecewa dengan nasib yang dihadapi mereka sehingga mengambil keputusan untuk tidak lagi menyokong kerajaan.

Sebelum nasi menjadi bubur, ada baiknya segala janji dalam pilihan raya lalu ditunaikan segera. Tempoh tiga tahun memang singkat, tetapi bukan mustahil untuk melaksanakannya. Kontraktor yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek terbabit, terutama di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) nanti perlu komited dan bertanggungjawab dengan memastikan projek itu dilaksanakan tepat pada waktunya dan mengikut piawai dan spesifikasi ditetapkan.

Projek yang tidak dilaksanakan mengikut piawai merugikan kerajaan dan rakyat. Rakyat tidak lagi dapat dibohongi. Rakyat di luar bandar perlu diutamakan dengan memberi kemudahan setimpal dengan keperluan mereka. Jangan memandang rendah atau memperlekeh mereka kerana mereka mempunyai kuasa untuk memilih kerajaan yang mereka suka. Jika kerajaan komited memenuhi keperluan dan kemudahan asas mereka, mereka akan membalas budi kerajaan dengan memangkah calon BN.

Oleh Dr Jeniri Amir

No comments: