JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Saturday, January 16, 2010

Rapid diperluas

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

NIBONG TEBAL 15 Jan. - Kerajaan sedang menimbang untuk memperluaskan perkhidmatan Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) dan RapidPenang Sdn. Bhd. (RapidPenang) ke negeri lain dalam usaha menaik taraf sistem pengangkutan awam.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, beberapa negeri sudah membuat permohonan kerana mahu perkhidmatan bas henti-henti seumpama itu diwujudkan di negeri mereka.

"Kita sedang timbang permohonan itu tetapi buat masa ini ia sedang diteliti dan saya tidak boleh katakan bila akan diluluskan dan di negeri mana," katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran Akademi RapidPenang di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan menyedari keperluan untuk memantapkan sistem perkhidmatan awam dengan menjadikannya salah satu daripada bidang keberhasilan utama negara (NKRA).

Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu meneliti dan mengambil kira beberapa faktor sebelum membuat keputusan memandangkan kos untuk mewujudkan rangkaian sistem perkhidmatan bas sedemikian adalah sangat tinggi.

Menurut beliau, kerajaan membelanjakan RM184 juta sejak dua tahun lalu untuk menjayakan sistem perkhidmatan RapidPenang di negeri ini termasuk RM150 juta bagi membeli 350 buah bas.

''Walaupun RapidPenang mengalami kerugian RM2.2 juta pada tahun 2007 dan RM8 juta pada tahun 2008, perkhidmatannya berjaya meningkatkan kadar penggunaan perkhidmatan awam di Pulau Pinang.

''Dalam hal ini, kerajaan tidak melihat pada prospek keuntungan kerana mahu rakyat menikmati perkhidmatan awam yang lebih selesa selain mengurangkan kesesakan trafik," tambahnya.

Beliau menjelaskan, walaupun RapidPenang mengalami kerugian yang turut berpunca ekoran kadar tambang yang rendah, kerajaan yakin ia akan memperoleh keuntungan apabila jumlah pengguna perkhidmatan awam meningkat pada masa depan.

Justeru katanya, usaha memantapkan perkhidmatan awam perlu diteruskan supaya ia dapat menyediakan kemudahan yang selesa, pemandu bas yang sopan dan bertanggungjawab serta jadual yang sistematik.

''Kadar penggunaan perkhidmatan awam di Pulau Pinang hanya sekitar lapan peratus sebelum ini tetapi dengan adanya RapidPenang, jumlah itu meningkat kepada 15 peratus dalam tempoh hanya dua tahun. Ini petanda yang sangat positif," katanya.

No comments: