Penebangan pokok di Kampung Matang Lot dikhuatiri musnahkan spesies berkualiti
KUCHING: Jika kegiatan curi balak di kawasan hutan di belakang Kampung Matang Lot di sini terus berleluasa, dalam masa lima tahun lagi tidak mustahil hutan simpan di situ kehilangan spesies kayu berkualiti tinggi.
Malah lebih merunsingkan apabila kegiatan haram itu bertumpu di lereng-lereng gunung dan mungkin mengakibatkan tanah runtuh jika terus dibiarkan.
Utusan Borneo yang meninjau kawasan berkenaan semalam mendapati pokok belian, cengal, selangan batu dan keruing menjadi mangsa para penebang balak haram.
Kegiatan bercanggah de-ngan undang-undang di kaki Gunung Serapi itu bukan satu perkara baru kepada para penduduk kampung ber-kenaan, kerana menurut seorang daripada mereka ia merupakan kegiatan tidak mengira musim.
JALAN KELUAR: Denai yang digunakan oleh para pembalak untuk mengangkut kayu bergergaji.
JALAN KELUAR: Denai yang digunakan oleh para pembalak untuk mengangkut kayu bergergaji.
Cuma mereka kadang-kadang berhenti bagi mengelakkan kegiatan dihidu oleh pihak berkuasa atau para penduduk kampung.
“Selalunya mereka menjalankan kegiatan pada sebelah malam agar tidak disyaki orang kampung. Pernah kami terserempak dengan lori yang sedang memunggah kayu sudah digergaji.
“Kami juga pernah ter-serempak dengan orang luar sedang membawa gergaji berantai masuk ke dalam hutan pada siang hari,” kata seorang penduduk yang meminta identitinya dirahsiakan.
Bagaimanapun, mereka ti-dak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang diancam oleh pihak terbabit.
Dua lokasi kawasan pene-bangan pokok terletak kira-kira 1.5 kilometer dari Kampung Matang Lot.
Para pembalak haram itu juga membina beberapa denai untuk mengangkut kayu bergergaji ke jalan kampung berhampiran.
Penduduk kampung memberitahu, mereka rasa bertanggungjawab mendedahkan kegiatan itu dan seterusnya mengekangnya agar pihak tidak bertanggungjawab tidak terus mengaut keuntungan daripada hasil hutan tanpa kebenaran kerajaan.
“Kegiatan mereka juga mula menunjukkan kesan terhadap lereng gunung. Sudah ada kesan gelongsoran tanah akibat penebangan kayu di kawasan lereng gunung,” kata seorang lagi penduduk kampung.
Menurut beliau, pokok yang ingin diambil tidak di-tebang sekali gus tetapi digergaji separuh agar ia tumbang sendiri apabila ditiup angin.
“Kadang-kadang kami dari kampung dapat mendengar bunyi pokok tumbang tetapi tidak kedengaran bunyi mesin gergaji berantai,” katanya.
Apabila mendapat tahu pokok sudah tumbang, mereka akan membelah pokok di situ menjadi papan atau berbentuk segi empat memanjang.
Katanya, bagi memastikan kegiatan tidak dijejaki, para pembalak haram menebang pokok di lebih satu kawasan.
Ini dapat dibuktikan apabila dua kawasan yang dilawati semalam menunjukkan satu kawasan agak baru dijadikan tempat membelah kayu, manakala satu kawasan lagi sekurang-kurangnya ditinggalkan sejak lima bulan lepas.
Jarak antara satu kawasan ke kawasan yang lain adalah kira-kira 1.5 kilometer.
Turut merunsingkan para penduduk ialah apabila kegiatan itu merebak ke kawasan tadahan hujan.
Beberapa rumah di Kampung Matang Lot masih bergantung kepada air dari gunung untuk kegunaan harian.
Menurut penduduk kampung terbabit, kegiatan penebangan balak haram itu pernah dilaporkan kepada pihak berkuasa pada September 2009.
Beliau mendakwa, dua orang diberkas susulan aduan itu.
“Tetapi apa yang kami perhatikan aktiviti penebangan pokok masih berlaku,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk kampung mencadangkan agar Sarawak Forestry Corporation (SFC) melantik beberapa penduduk kampung menjadi Renjer Kehormat.
Katanya, ini mungkin mampu mengurangkan kegiatan salah laku di kawasan hutan berdekatan mereka.
“Sebagai penduduk kampung berdekatan kita rasa bertanggungjawab dalam membasmi kegiatan haram yang hanya memberi keuntungan kepada sesetengah pihak,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Hutan Datu Len Talif Salleh berkata, kegiatan seumpama itu merupakan agenda utama pihak mereka selaras dengan usaha memastikan kelestarian sumber hutan di negeri ini.
Beliau memberi jaminan, tindakan yang perlu akan dilaksanakan bukan sahaja di Gunung Serapi tetapi di seluruh Sarawak.
“Apa yang penting ialah kita amat serius dalam usaha membanteras kegiatan haram seperti ini,” kata Len yang juga Pengarah Urusan SFC, semalam.
Ditanya lebih khusus tentang kegiatan di Kampung Matang Lot, beliau berkata pihaknya telah membuat pemantauan udara menggunakan helikopter baru-baru ini.
Tetapi apabila pemantauan dilakukan, ia tidak menunjukkan tanda-tanda pembalakan haram katanya, sambil mengulangi jaminan bahawa tindakan serta-merta akan diambil jika siasatan mendapati ia benar.
“Kita buat siasatan berdasarkan semua laporan. Ada kalanya (laporan) berasas dan kadang-kadang tidak berasas. Apa pun, kita bertindak berpandukan laporan, agar soal pemeliharaan hutan terkawal,” katanya.
No comments:
Post a Comment