JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, January 6, 2010

Landskap politik Sarawak jangan dipandang ringan


Tiba masa BN gugur pemimpin wajah lesu, beban kepada parti

APABILA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas, Gabriel Adit Demong merasmikan cawangan Ngemah di Rumah Unchin Demong di Nanga Bejait, Kanowit Sabtu lalu, Pengerusi Parti Cinta Malaysia (PCM) Sarawak itu meletakkan harapan tinggi untuk bertanding di 36 kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang.

Adit yang bagai kehilangan arah sesudah membuat keputusan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedar akan hakikat bahawa pengaruhnya adalah terbatas kepada kawasan Kanowit.

PCM seperti parti lain yang pernah hadir dalam arena politik Sarawak dijangka tidak memberi kesan, malah nasib Adit di kawasannya sendiri adalah kelabu.

Peluang untuknya mengekalkan kerusi itu dijangka tipis. Adit tidak boleh dipersalahkan jika beliau mempunyai keyakinan tinggi untuk memenangi kerusi itu sekali lagi. Beliau tidak pernah tewas dalam sebarang pilihan raya di kerusi Ngemah yang menjadi kubu kuatnya sejak 1981 dan sudah menjadi Adun lima penggal.

Apatah lagi, disebabkan rekod itu, beliau diberi gelaran 'Tok Guru' oleh Naib Presiden PCM, Huan Cheng Guan. Namun, hal ini tidak mematahkan azam beliau untuk memperluas sayap parti itu di kawasan luar bandar dengan majoriti Iban, termasuk di Kakus, Sri Aman, Lubok Antu, Batang Air, Betong, Saratok, Engkilili dan Serian.

PCM perlu bersaing dengan calon Barisan Nasional (BN) sama ada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) atau Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) di kawasan majoriti Iban.

Dari sudut ini dan berdasarkan sejarah, amat sukar bagi PCM untuk menyebarkan pengaruhnya di kalangan pengundi dan rakyat luar bandar dalam waktu singkat, menjelang pilihan raya yang dijangka diadakan sebelum suku pertama tahun depan.

Dengan keterbatasan kewangan, kredibiliti kepemimpinan Adit sendiri yang boleh dipertikaikan, kelemahan sokongan akar umbi, selain kekuatan dan kelebihan yang masih memihak kepada BN, kita boleh katakan bahawa PCM akan menerima nasib sama seperti parti baru di Sarawak dalam tempoh lebih empat dekad lalu.

Impian PCM untuk memenangi sebarang kerusi akan menjadi mimpi ngeri. Ini adalah kenyataan pahit yang perlu diterima Adit sebagai pemimpin parti baru seperti PCM. Kecualilah beliau dapat meyakinkan PCM mampu memperjuangkan dan mentransformasi sosioekonomi pengundi luar bandar, terutama menyelesaikan isu berkaitan Tanah Adat Bumiputera (NCR) yang jelas menjadi duri dalam daging bagi BN.

Sebenarnya, tanda bahawa isu pilihan raya akan menjadi hangat sudah pun bermula. DAP memasang angan-angan untuk bertarung di sekurang-kurangnya 20 kerusi. Jumlah itu semacam kompromi dan tanda bahawa DAP yang menang besar dalam pilihan raya negeri 2006, ingin memastikan wujud kesepakatan dari segi pengagihan kerusi dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

Parti pimpinan Wong Ho Leng itu mempunyai keyakinan tinggi untuk menambah jumlah tujuh kerusi yang dimenanginya pada 2006 di tengah-tengah kemelut yang melanda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). Impian DAP untuk memenuhi hasratnya itu mungkin tidak sukar direalisasikan jika SUPP gagal menyelesaikan segera masalah dalaman yang membelit parti berusia 50 tahun itu untuk sekian lama.

Masyarakat Cina sudah muak dengan kerenah pemimpin parti terbabit yang dianggap bercakaran sesama sendiri kerana kepentingan peribadi yang sempit. Pilihan raya akan datang tidaklah semudah pilihan raya yang lepas-lepas bagi BN. Landskap dan peraturan politik negeri sudah jauh berubah. Semakin ramai golongan muda akan mengundi dan rakyat semakin sedar dan kritikal terhadap pemimpin.

Mereka masih ingat akan janji pemimpin dalam pilihan raya lalu dan bagaimana pengagihan kekayaan negeri dilakukan. Mereka tidak lagi boleh dipandang ringan, terutama generasi pengundi muda yang berpendidikan.

Jika BN tidak menggugurkan wajah yang sudah lesu dan menjadi beban kepada parti, jangan hairan Pakatan Rakyat akan mampu menggoncang kedudukannya. BN perlu segera menyelesaikan pelbagai isu dan masalah rakyat termasuk masalah ciptaannya sendiri, terutama isu NCR. Dengan gendang perang yang sudah dipalu parti pembangkang, BN tidak boleh terlalu yakin dengan kelebihannya selama ini.

Namun, dengan politik keperluan asas yang masih lagi kuat menguasai rakyat, bukanlah tugas yang mudah untuk Pakatan Rakyat mengambil alih kepemimpinan negeri sekurang-kurangnya untuk tiga pilihan raya lagi.

Oleh Dr Jeniri Amir


Penulis ialah penganalisis politik dan pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak

1 comment:

Anonymous said...

Kita sudah mahu mencapai Wawasan 2020. Pendapatan perkapita rakyat perlu adil dan saksama. Saya sudah 7 tahun bekerja. Harapan saya, agar Bajet 2011 yang diumumkan kelak menjamin pembahagian ekonomi dan pendapatan gaji yang sama rata.

Secara jelas, saya orang Kuching. Bekerja di Bintulu di sebuah syarikat swasta. Tetapi saya kasihan melihat kawan-kawan yg dari Kuching yg bekerja di Bintulu di bawah sektor kerajaan cthnya guru, imigresen, kastam sentiasa merungut gaji tidak mencukupi. Berbanding dengan mereka yg datang dari Semenanjung Malaysia, kehidupan mereka lebih terjamin kerana menerima ELAUN WILAYAH serta kadar ELAUN PERUMAHAN yang tinggi. Rasanya, perkara ini perlu dikaji semula.

Sebab?
1)Kadar tambang kapal terbang dari Kuala Lumpur menuju ke Bintulu dibandingkan dari Kuching ke Bintulu lebih kurang sama. Adakalanya, tambang kapal terbang dari Kuching ke Bintulu lebih mahal lagi.

2) Kos hidup sekarang makin tinggi. Minyak dah naik. Gula dah naik. Sekarang, susu pula nak naik harga. Bagi mereka orang semenanjung yg bekerja di sarawak, beza dgn gaji org Sarawak yg menerima elaun lebih RM600 secara majoritinya. Padahal, kos hidup yang perlu dilalui sama. Kalau mereka kata jauh, org jati sarawak yang bekerja sendiri di sarawak lagi jauh. Bayangkan mereka yang dari Kuching bekerja di Miri, Limbang atau Lawas? tak jauh ker? belum lagi di Sabah. Yang dari Tawau, Lahad Datu, Sandakan bekerja di Kota Kinabalu. Tak jauh ka?

Ini sekadar pendapat sahaja dari luahan hati seorang belia di Sarawak yang turut menjadi pengundi demokrasi. Mengundi pada yang adil. TQ