JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, January 4, 2010

Pemimpin Kanan BN Sarawak keluar parti


SIBU: Orang kanan Datuk Dr Soon Choon Teck dalam isu penubuhan cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dudong yang penuh kontroversi, Wong Ching Yong mengumumkan keluar dari parti tersebut, kelmarin.

Menurut Wong, beliau keluar dari SUPP selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan pusat parti terutama berhubung keputusan tidak konsisten yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

Katanya, beliau telah menyerahkan surat perletakan kepada pusat parti dan terpulang kepada mereka untuk tindakan selanjutnya.

“Jika terus berada dalam parti, ini hanya akan terus melukakan perasaan saya,” ujar Wong yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keengganan pemimpin SUPP melakukan reformasi dalam parti selepas Persidangan Delegasi Khas (SDC) 2006.

Menurut Wong lagi, SUPP kini bukan lagi sebuah parti milik rakyat dan atas sebab itu beliau percaya telah membuat keputusan yang betul dengan meninggalkan parti berkenaan.

Ditanya sama ada beliau bercadang menyertai parti lain, Wong memberitahu perkara itu belum terlintas dalam fikirannya.

“Saya akan berehat dan membuat keputusan sama ada melibatkan diri dalam aktiviti politik lagi selepas sambutan Tahun Baru Cina ini,” jelasnya.

Wong yang telah menyertai SUPP sejak tahun 1985 turut menyangkal dakwaan yang dia keluar parti berikutan tidak dipilih sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Dudong pada pilihan raya negeri akan datang.

“Calon bagi kerusi itu tidak pernah dibincangkan dalam pusat parti dan dakwaan seperti itu tidak adil keada saya,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu yang dia tidak menyesal atas apa yang berlaku terutama berhubung penubuhan SUPP Cawangan Dudong.

“Saya telah memberikan yang terbaik dalam penubuhan cawangan itu meskipun ia mendapat tentangan hebat daripada SUPP Bahagian Sibu,” tambah Wong.

No comments: