JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Sunday, January 31, 2010
Jalan Selangau-Mukah, paling teruk di ASEAN?
Lebuhraya Kubang Kerbau - Gambar oleh King Kawi
Pada minggu lalu beberapa orang pegawai tinggi dari Putrajaya yang mempunyai gelaran Datuk telah ‘turun padang’ dengan memandu melalui jalan tidak berturap di salah satu kawasan di utara Sarawak.
Tujuan mereka adalah untuk melihat dengan lebih dekat keadaan prasarana di luar bandar Sarawak, sesuai dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu membawa lebih banyak pembangunan ke Sarawak dan Sabah.
Pegawai kanan terbabit sepatutnya turut pergi ke jalan Selangau-Mukah untuk merasai sendiri penderitaan yang dialami oleh puluhan ribu rakyat yang menggunakan jalan neraka itu.
Atau wajarkah jalan Selangau-Mukah itu dikategorikan sebagai jalan utama? Mungkin lebih sesuai disifatkan sebagai jalan balak.
Saya mempunyai pengalaman melalui jalan sekitar 50 km itu minggu lalu ketika membawa jenazah ayah saya yang meninggal dunia pada dinihari 14 Januari.
Pengalaman mengharungi jalan raya itu merupakan satu cabaran besar yang kadangkala menakutkan dan membimbangkan, apatah lagi pada waktu malam dan waktu hujan lebat.
Pelbagai kemungkinan menjelma di kepala sepanjang perjalanan selama sekitar tiga jam itu. Tiga jam untuk laluan sekitar 50 km? Ya, kerana anda terpaksa mengharungi jalan yang berlumpur, becak, berlubang-lubang, dan bertakung dengan air.
Tidak hairanlah, sesiapa yang pernah melalui jalan itu menganggapnya sebagai jalan paling teruk di Malaysia. Malah, saya berani mengatakan sebagai jalan utama paling teruk di negara Asean. Ini bukan kenyataan yang melampau.
Hakikatnya, isu mengenai jalan raya ini telah dibangkitkan untuk puluhan tahun. Lupakan sahaja soal 46 tahun apabila Sarawak sama-sama menubuhkan Malaysia.
Kita faham akan masalah yang dihadapi oleh Sarawak pada dekad 60-an dan 70-an, termasuk ancaman komunis dan ekonomi yang belum lagi membangun.
Tetapi bagaimana dengan era 80-an, 90-an dan alaf baru? Betulkah kita tidak ada peruntukan? Apakah kita tidak mempunyai perancangan? Atau terdapat motif tertentu mengapa jalan itu tidak dibina, sedangkan jalan raya di tempat lain diberi keutamaan.
Rakyat tidak mengharapkan lebuh raya enam lorong.
Rakyat hanya perlukan jalan yang selayaknya digunakan oleh mereka sebagai pembayar cukai dan orang yang telah memberi undi kepada calon Barisan Nasional sehingga memungkinkan mereka terus memerintah negeri ini untuk sekitar 40 tahun.
Apakah alasan terbaik untuk kita mempertahankan dasar tidak mahu membina jalan raya utama itu? Benarkah jalan berkenaan bukan jalan kerajaan, tetapi jalan syarikat ladang kelapa sawi? Jika benar, ini sesuatu yang cukup aneh.
Kalau benar, kenapa kerajaan tidak mempunyai perancangan konkrit untuk membina jalan sepenting itu? Mengapakah kita membiarkan rakyat dan pengundi menanggung penderitaan untuk puluhan tahun. Atau kita seronok melihat mereka menderita?
Sampai bilakah kita dapat meminta supaya rakyat dan pengundi bersabar dan bersyukur? Mereka telah bersabar lebih daripada 20 tahun, tetapi keadaan jalan itu tetap tidak berubah.
Memang, kini ada usaha untuk membina dan menaik taraf jalan terbabit, dengan unjuran awal dapat disiapkan pada tahun ini.
Tetapi saya berani mengatakan, berdasarkan pemerhatian pada minggu lalu, itu hanya impian. Pengguna jalan itu perlu terus menghadapi mimpi ngeri melalui jalan yang menjadi laluan utama ke Balingian, Oya, Dalat, dan kawasan di sekitarnya.
Maksudnya, untuk sementara waktu, mungkin selama tiga tahun lagi, rakyat perlu mengharungi jalan yang menyeksakan itu. Jika ada pilihan, rakyat tidak akan mahu menggunakan jalan yang boleh menyebabkan kenderaan mereka rosak teruk.
Kos untuk membaik pulih kenderaan sahaja mungkin beratus-ratus ringgit, kalaupun tidak beribu-ribu ringgit, seperti yang saya alami minggu lalu.
Tetapi mereka tidak mempunyai pilihan kerana penerbangan dari Lapangan Terbang Mukah ke Sibu telah lama dihentikan.
Bayangkan jika anda membawa pesakit dengan ambulans dari Hospital Mukah ke Hospital Sibu.
Ayah saya ketika masih ditahan di Hospital Sibu sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak bertekad untuk tidak lagi mahu dibawa dengan ambulans melalui jalan berkenaan sesudah mengalami pengalaman getir dan menyakitkan.
Malah, keputusan saya untuk tidak membawa mendiang balik sewaktu beliau masih bernafas adalah kerana bimbang keadaan akan bertambah tenat jika melalui jalan berkenaan.
Tetapi akhirnya, saya tidak mempunyai pilihan pada malam 14 Januari lalu apabila van yang membawa jenazah ayah terpaksa melalui laluan berkenaan.
Anda dapat bayangkan sendiri bagaimana keadaan jenazah di dalam keranda melalui jalan sedemikian?
Sementara itu, melalui jalan sedemikian, mereka yang sakit akan bertambah sakit, malah bukan tidak ada yang meninggal dunia di tengah jalan berkenaan. Mereka yang mengandung, ada yang melahirkan anak di tengah jalan.
Jalan yang sedia ada perlu diselenggarakan dengan baik sementara menunggu jalan raya baru siap dibina, setidak-tidaknya bagi memberi sedikit keselesaan kepada mereka yang perlu menggunakannya untuk tempoh beberapa tahun lagi.
Jangan biarkan mereka terus menderita dan menghamburkan kemarahan dengan sumpah seranah.
Rakyat di Mukah menjadi begitu ‘emosional’ apabila bercakap tentang jalan itu. Lima orang penduduk yang terserempak dengan penulis di Mukah menyalahkan kerajaan kerana membiarkan jalan raya itu dalam keadaan teruk.
“Tidak layakkah kami menggunakan jalan yang lebih baik daripada itu? Adakah kerajaan tidak prihatin terhadap nasib kami di sini?
Sampai bilakah kami dapat bersabar? Kami telah diminta untuk bersabar setiap kali wakil rakyat dan ahli politik berkempen,” tegas seorang daripada mereka yang ternyata begitu sukar mengawal emosinya.
Saya tahu seorang mantan wakil rakyat pernah menulis surat sekurang-kurangnya tiga kali kepada pemimpin politik tertinggi negeri pada pertengahan dekad 90-an dahulu, berserta dengan gambar.
Kereta beliau pernah tersangkut dan rosak di tengah jalan, dan beliau sama-sama dihamburkan kata-kata kesat oleh rakyat kerana kononnya tidak mempedulikan nasib rakyat. Walhal, beliau kerap membangkitkan masalah jalan itu di dalam Dewan Undangan
Negeri, selain mengutus surat kepada pihak yang lebih berkuasa.
Tetapi, hasilnya tetap nol. Jadi, sebelum anda menyalahkan wakil rakyat, anda perlu berfikir banyak kali, kerana wakil rakyat sekadar dapat merayu dan mengutus surat kepada pihak yang lebih berkuasa.
Anda tahu kuasa sebenar terletak di tangan siapa?
Ketika Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berpindah ke Balingian dalam pilihan raya 2001, pengundi dan rakyat meletak harapan dan keyakinan tinggi bahawa masalah terbabit akan segera selesai.
Sesuai dengan kuasa yang ada padanya dan dasar politik pembangunan yang diwara-warakannya, harapan tinggi itu tentu munasabah.
Jika tidak kepada beliau, kepada siapakah lagi rakyat dapat menggantung harap?
Jangan salahkan penduduk Mukah jika mereka kecewa dan marah.
Mereka berhak untuk kecewa dan marah. Mereka telah diberi pelbagai janji setiap kali menjelang pilihan raya. Kini, mereka sudah muak dengan segala janji yang ditaburkan itu.
Wakil rakyat silih berganti, tetapi janji yang ditaburkan tetap tinggal janji.
Kini, salahkah jika mereka menuntut janji itu? Sebahagian daripada mereka yang pernah mendengar janji itu telah tidak ada lagi bersama-sama kita.
Ingat, kerbau diikat pada hidungnya, ahli politik diikat pada janjinya.Tetapi, sesudah pilihan raya 2006, apa perkembangannya? Keadaannya tidak berubah, malah bertambah buruk.
Yang pasti, tunggu pilihan raya yang akan datang, isu jalan raya Selangau-Mukah akan tetap menjadi duri dalam daging bagi pihak Barisan Nasional dan kerajaan.
Kali ini, adakah mereka akan terus mengulangi sekali lagi janji yang telah ditaburkan untuk sekian lama?
Oleh Dr Jeniri Amir
Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak dan anak jati Mukah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
Saya baru 2 tahun berkhidmat di Mukah juga merasai keperitan & kesengsaraan rakyat di Mukah. Setiap kali saya melalui Jalan Selangau-Mukah ini, mulut saya tidak akan henti-henti beristighfar.. kerana di dalam hati ini sudah tidak tertahan lagi ingin meluahkan kemarahan, kebencian kepada pemimpin tertinggi Sarawak di atas kezaliman beliau memperbodohkan rakyat.
Saya baru 2 tahun berkhidmat di Mukah. Keadaan di sini ibarat 2o tahun mundur dan ketinggalan berbanding Batu Pahat Johor. Wakil rakyatnya hanya mementingkan kuasa pemerintahan tanpa menghiraukan kepentingan rakyat. Setiap kali melalui Jalan Selangau-Mukah pasti hati berasa sakit menahan kebencian dan kemarahan yang meluap-luap terhadap pemimpin tertinggi Sarawak di atas kezalimannya memperbodohkan rakyatnya sendiri.
sepatutnya jln itu boleh siap 2-3 bulan tetapi makan masa lebih 3 tahun..sekarang nie..baru nak siap...itu pun ada 30% tak siap lg...
saya hampir menangis dan patah balik kerana tidak sanggup lagi meneruskan perjalanan menggunakan jln tersebut. sesungguhnya jln sibu-selangau-mukah-tatau memang jln neraka jahanam.
saya hampir menangis dan patah balik kerana tidak sanggup lagi meneruskan perjalanan menggunakan jln tersebut. sesungguhnya jln sibu-selangau-mukah-tatau memang jln neraka jahanam.
Nobody perfect...politik katakan.Silap org nampak silap sendiri x sedar pun kadang org lain pula kena maki. Pandai pertikai diri tu buat pandai ke @ cakap2 tu dah ada tbukti ke pemberian diri tuk rakyat? Klu pandai cakap saya pun boleh 'walau gagal UpSr) janji kerongkong x kering.
Post a Comment